Puluhan orang mengangkat teksi di tengah London bagi mengeluarkan wanita yang terperangkap di bawahnya.

London: Sikap prihatin mendorong puluhan orang termasuk pelancong di London, bekerjasama mengangkat teksi bagi mengeluarkan seorang wanita yang terperangkap di bawah kenderaan itu.

Dalam kejadian Isnin lalu, wanita berkenaan, pekerja di sebuah pejabat di King William Street, dekat Bank of England di tengah London, sedang rehat waktu makan tengah hari apabila dia dilanggar teksi ketika melintas jalan.

Rakaman video menunjukkan 30 orang bekerjasama mengangkat teksi berkenaan bagi mengeluarkan wanita itu.

Menurut saksi, Laura Fares, 37, yang berada di luar stesen kereta api bawah tanah dekat bank berkenaan, dia diberitahu seorang wanita terperangkap di bawah teksi.

“Saya bergegas ke sana dan nampak dua anggota paramedik dan pemandu teksi hanya berdiri menunggu bantuan.

“Apabila saya tanya kenapa tidak membantu wanita itu, anggota paramedik berkata mereka bukan anggota kecemasan dan perlu menunggu bantuan. Mereka hanya menyelimutkan wanita itu dan meletak bantal di bawah kepala wanita berusia 20-an itu yang separuh sedar,” katanya.

Fares kemudian memanggil orang ramai di situ meminta mereka membantu mengeluarkan wanita itu yang kakinya tersepit di bawah teksi.

Menurut saksi ramai keluar dari pejabat di situ selepas terdengar orang menjerit “Tolong, tolong, kami perlu bantuan”.

Dalam masa tiga minit puluhan orang, termasuk sekumpulan pelancong dari Sepanyol berjaya mengangkat teksi itu dan mengeluarkan wanita berkenaan dengan kakinya kelihatan lebam.

Wanita itu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

Kejadian itu berlaku tiga bulan selepas ratusan orang mengangkat bas dua tingkat di London bagi mengeluarkan seorang penunggang basikal yang terperangkap di bawah bas berkenaan di Walthamstow. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 7:11 PM