Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: Penyanyi dan penulis lagu, Yunalis Zarai bakal tampil dengan lagu duet bersama penyanyi popular Amerika Syarikat, Usher tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan penerbit muzik antarabangsa dan presiden Verve Music Group, David Foster yang menaungi Yuna.

"Yuna sudah merakamkan lagu duet itu baru-baru ini. Saya berasa projek ini akan melonjakkan namanya ke kemuncak. Saya 100 peratus yakin dengan Yuna.

"Dia rakyat Malaysia dan mempunyai personaliti yang menarik. Sudah menjadi matlamat kami untuk melonjakkan namanya menjadi bintang ternama," katanya.

Foster berkata demikian pada sidang media pengumuman komposer itu sebagai duta jenama global AirAsia di Majestic Hotel di sini, semalam.

Yuna menyertai syarikat pengurusan penerbit antarabangsa itu pada 2013.

Majlis pelantikan Foster semalam turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Sementara itu, Yuna menerusi Instagramnya turut memuat naik gambarnya bersama Usher dengan catatan 'soon' (akan datang).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 11:49 PM