FIGUEROA (kiri) dihalang dua pemain LionsXII.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Penyerang import Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Luciano Figueroa muncul wira apabila jaringan tunggalnya memastikan skuad itu menang tipis 1-0 mengatasi LionsXII pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan perebutan takhta liga kini kekal tertumpu antara Johor DT yang mengumpul 43 mata, bersaing dengan Pahang, hanya ketinggalan satu mata ketika aksi berbaki tiga perlawanan lagi.

Skuad Harimau Selatan yang begitu dahagakan kemenangan melakukan sedikit rombakan apabila merehatkan Asraruddin Putra Omar akibat kecederaan dan mempertaruhkan Mohd Fadhli Shas mengisi posisi bek kiri manakala LionsXII membariskan pemain sama ketika menewaskan Pahang 4-2, Sabtu lalu.

Tempoh aksi 11 minit cuba diasak tuan rumah untuk mengintai peluang mencipta gol namun rembatan Figueroa tersasar dari pintu gol selepas menerima bola umpanan kapten Safiq Rahim.

Aksi tuan rumah tampak tidak konsisten sepanjang 30 minit babak pertama apabila gerakan yang cuba dilakukan sering disekat pelawat malah pergerakan Safiq untuk menjana posisi tengah juga kerap dihalang barisan tengah skuad kendalian Fandi Ahmad.

Apa yang boleh dirumuskan sepanjang aksi babak pertama yang dipamerkan Johor DT jelas serba tidak menjadi tatkala corak permainan pelawat lebih kemas bukan saja bertindak menyekat gerakan barisan serangan tuan rumah yang diterajui Figueroa, malah sempat mengatur serangan berbahaya.

Bersambung babak kedua, pelawat yang mula mengatur serangan, meraih sepakan percuma pada minit ke-47 namun bola sepakan Faris Ramli tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Serang balas tuan rumah pada minit ke-50 gagal menghasilkan jaringan tatkala hantaran lintang S Kunanlan tidak dapat ditanduk kemas Figueroa.

Berikutan aksi yang agak kurang konsisten menyaksikan Gomez memasukkan Safee Sali menggantikan Jasazrin Jamaluddin bagi menguatkan jentera serangan.

Figueroa akhirnya menemui sentuhan penyudah pada minit ke-55, berpunca daripada bola umpanan Kunanlan yang menyaksikan Safee bijak memperdayakan pertahanan pelawat untuk pemain import dari Argentina itu memusingkan badan sebelum merembat leret ke sebelah kiri penjaga gol Mohd Izwan Mahbud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 8:58 AM