Oleh Asrol Awang


Kuantan: Pahang mencatat kemenangan bergaya 5-3 selepas mengecewakan Kelantan untuk kembali meraih tiga mata di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Tiga mata yang diraih itu sudah dijangka selepas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan melancarkan serangan berbahaya sebaik perlawanan bermula.

Hasilnya, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendapat gol pendahuluan menerusi pemain tengah, R Surendran yang mudah menyempurnakan gerakan menarik untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ke-6.

Selang dua minit, Dickson Nwakaeme menambah gol kedua buat skuad Tok Gajah selepas menerima hantaran silang Surendran untuk Pahang selesa mendahului 2-0.

Namun, pada minit ke-11, penyerang The Red Warriors, Nor Farhan Muhammad merapatkan jurang gol 1-2 selepas bola tendangannya terkena badan kapten Pahang, Mohd Razman Roslan sebelum menerjah ke gawang, menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Ketinggalan satu gol tidak melunturkan semangat Kelantan untuk mencari gol penyamaan dan banyak peluang yang dimiliki lawan, tetapi kekebalan pertahanan Pahang menafikannya.

Sebaliknya, Matias Conti menjaringkan gol ketiga buat Pahang untuk memastikan tuan rumah selesa mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pemain tengah Pahang, Zesh Rehman muncul penjaring untuk meletakkan skuad itu mendahului 4-1 yang menyaksikan Khairul Fahmi tewas buat kali keempat.

Pada minit ke-70, Kelantan yang ketinggalan berjaya menewaskan Khairul Azhan hasil tandukan Nor Farhan yang juga gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu.

Kelantan yang tidak berputus asa menjaringkan gol ketiga selepas mendapat tendangan penalti dan peluang itu disempurnakan Nor Farhan pada minit ke-90.

Pada masa kecederaan, pemain gantian, Azamuddin Mohd Akil memastikan kemenangan besar 5-3 Pahang ke atas Kelantan selepas menerima hantaran Nwakaeme.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 9:01 AM