Sokongan terhadap Eva dalam FB mengundang kemarahan Mourinho - Foto BPI
Sokongan terhadap Eva dalam FB mengundang kemarahan Mourinho - Foto BPI

London: Mana-mana doktor menyertai Chelsea perlu lebih memahami bola sepak berbanding pengetahuan dalam bidang perubatan!

Itulah sindiran hos Match of The Day dan bekas penyerang England, Gary Lineker terhadap keputusan Chelsea menggantung tugas Eva Carneiro pada hari perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lineker dalam Twitter menulis: "Sesiapa berminat memikul tugas doktor pasukan Chelsea mesti memahami bola sepak. Tidak pasti sama ada sebarang pengetahuan perubatan diperlukan."

Lineker mempersoal keputusan The Blues tidak membenarkan Eva berada di tepi padang pada hari perlawanan Chelsea selepas jurulatih Portugal itu ‘menuduh’ doktor wanita terbabit memandang rendah kewibawaannya sebagai pengurus pasukan dalam Facebook (FB).

Mourinho menyalahkan Eva Carneiro serta kakitangan fisio Chelsea kerana meluru masuk ke dalam padang sewaktu perlawanan pembukaan musim menentang Swansea.

Keadaan memaksa Eden Hazard meninggalkan padang menyebabkan Chelsea terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.

Pertelagahan berlanjutan selepas Eva membawa isu ke FB dengan menulis: "Saya mengucapkan terima kasih terhadap pelbagai pihak atas sokongan mereka. Saya begitu menghargainya."

Bos pasukan Stamford Bridge terbabit jelas tidak gembira dengan tindakan doktor berasal dari Gibraltar itu memperbesarkan isu hingga ke laman sosial menyebabkan dia tidak dibenar bertugas bersama pasukan.

Biarpun Eva kekal doktor pasukan, dia tidak lagi dibenar berada di padang latihan, berada di tepi padang bersama pasukan dan masuk ke hotel pasukan pada hari perlawanan.

Reaksi Lineker terhadap tindakan Mourinho: “Beliau (Mourinho) mencipta jenaka untuk diri sendiri yang akan membuat orang mentertawakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 12:01 PM