PELAJAR berpeluang menemu bual penduduk yang terbabit pada era pendudukan Jepun.
SULAIMAN bersama pedang milik pegawai British yang masih disimpan di sebuah rumah milik individu yang ditemu bual.
ANTARA pillbox yang masih sempurna, sesuai dijadikan tarikan pelancong.
SETIAP kubu yang ditemui dicatatkan butirannya termasuk saiz dan dikaji sebab dibina di situ.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Tanggal 13 Disember 1941 detik hitam dalam sejarah Malaysia apabila pertahanan Tanah Melayu di Jitra, Kedah ditakluki tentera Jepun dipimpin Leftenan Kolonel Saeki Shizuo yang menyerang melalui Thailand.

Sistem pertahanan yang dirancang Mejar Jeneral William Dobbie, pegawai pemerintah British di Tanah Melayu sepatutnya mampu menangkis serangan selama tiga bulan, tetapi berikutan kekurangan pengalaman tempur dalam kalangan tentera dari Gurkha dan Punjabi, pasukan Jepun menawan Jitra dalam masa tiga hari saja.

Pertempuran ‘Battles of Jitra’ memberi banyak pengajaran dan memahatkan sejarah penting negara.

Sehingga hari ini, kubu pertahanan British seperti pillbox masih kelihatan dan teguh berdiri, tapi banyak tinggalan sejarah lain musnah dan hilang begitu saja.

Keadaan ini menarik minat sekumpulan pelajar Pusat Asasi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk menyelusuri perjalanan kemasukan tentera Jepun atau Jitra Line, baru-baru ini.

Malah, mereka turut menyelidik dan mengkaji strategi yang diatur British dan sebab kegagalan pertahanan terbabit dalam Perang Dunia Kedua.

Menurut Pengarahnya. Profesor Datuk Dr Wan Md Zin Wan Yunus, sempena Sambutan Hari Pahlawan dan Hari Kemerdekaan ke-58, beliau bersama 28 pelajar cuba meneroka perjalanan pernah dilalui tentera Jepun dan tinggalan sejarah yang masih ada.

“Sepanjang lima hari di Jitra, kita menemubual penduduk yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa itu,” katanya.

Hasil maklumat, mereka berbincang dan mengkaji sebelum digabungkan dengan kumpulan lain dari UPNM yang mendapatkan maklumat di Kota Bharu dan Singapura. Kajian ini akan didokumentasikan sebagai sumber rujukan, terutama kepada generasi muda.

Bagi Penghulu Mukim Naga, Sulaiman Hashim, dia mengalu-alukan kehadiran pelajar itu kerana jika tiada usaha dilakukan, artifak ini akan hilang ditelan zaman.

Dia turut mengiringi dan memperkenalkan pelajar ini kepada penduduk di Kampung Changkat, Pulau Timbul dan Kampung Budi dalam Mukim Naga.

Selain, itu, pelajar turut dibawa ke Mukim Binjal, Mukim Malau, Mukim Gelong, Mukim Jitra dan Mukim Pelubang untuk melihat aset sejarah yang masih ada.

Malah, mereka sempat bertemu seorang warga emas yang masih mampu menyanyikan lagu Jepun.

Lagu itu mereka nyanyi di sekolah ketika zaman pemerintahan Jepun.

Sementara itu, pelajar turut mendengar pengkisahan sejarah daripada Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Kedah, Dr Mohd Kasri Saidon yang juga Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia.

Program itu mendapat kerjasama Pejabat Daerah Kubang Pasu dan Persatuan Sejarah Negeri Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 12:57 PM