Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur : Sebanyak 20,458 kes kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang Op Selamat 7/2015 sempena musim perayaan bermula 10 sehingga 24 Julai lalu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Fuad Abd Latif berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 303 kes kemalangan maut yang mengakibatkan 330 kematian dicatatkan.

Katanya, jumlah kematian itu adalah yang terburuk dalam sejarah Op Selamat sejak ia dimulakan pada 1994.

"Jumlah kes kemalangan pada tahun ini meningkat sebanyak 1,974 kes berbanding Op Selamat 5/2014 tahun lalu.

"Kes kemalangan maut juga turut meningkat sebanyak 86 kes berbanding Op Selamat 5/2014," katanya dalam sidang media Op Selamat 7/2015, hari ini.

Menurut Fuad, Selangor mencatakan kes kemalangan tertinggi iaitu 5,147 kes diikuti oleh Johor (2,909) dan Kuala Lumpur (2,282) yang menyumbang 50.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Katanya, jalan persekutuan merekodkan kemalangan maut tertinggi iaitu 131 orang diikuti jalan negeri (81) dan lebuh raya (54).

Katanya, penunggang motosikal mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 183 orang, pembonceng motosikal (17), pemandu kereta(42), penumpang kereta (43), pemandu van (3), penumpang van (5), pejalan kaki (1), pemandu jip (2), penumpang jip (3), pemandu lain-lain kenderaan (1) dan penumpang lain-lain kenderaan (1).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 4:22 PM