Tempat kejadian mangsa yang maut ketika menggali kubur. FOTO ihsan PDRM
Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Raub: Seorang pesara bank yang sedang menggali kubur untuk mengebumikan jenazah anak saudaranya terbunuh selepas dihempap sebatang pokok tumbang akibat hujan lebat serta angin kencang dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Rotan Tunggal, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, mangsa, Zulkifli Md Taha, 66, berasal dari Kampung Melayu Sempalit, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala selepas dihempap pokok sebesar pemeluk orang dewasa itu.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rakan mangsa berusia 56 tahun yang juga pesara kerajaan mengalami kecederaan parah di badan dibawa ke Hospital Raub, di sini, untuk mendapatkan rawatan.

"Sebelum kejadian, mangsa bersama rakan dan empat lagi penduduk kampung sedang menggali kubur untuk mengebumikan jenazah anak saudaranya yang meninggal dunia di Kuala Lumpur pada hari sama," katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, ketika melakukan kerja menggali, angin kencang diikuti hujan lebat berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan sebatang pokok sebesar pemeluk orang dewasa tumbang dan menghempap mangsa dan rakannya .

Katanya, empat lagi penduduk yang berjaya menyelamatkan diri segera menghantar rakan mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 4:39 PM