Stadium Etihad mampu menampung 55,000 penonton perlawanan City menentang Chelsea Ahad ini .-- Foto Manchester Evening News
Stadium Etihad mampu menampung 55,000 penonton perlawanan City menentang Chelsea Ahad ini .-- Foto Manchester Evening News

Manchester: Kelab kaya raya, Manchester City bakal mencatat rekod baru kehadiran penonton menjelang kunjungan Chelsea pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini.

Rekod baru itu dijangka selepas kejayaan test berlangsung di Stadium Etihad melalui usaha naik taraf baru-baru ini.

Malah lebih 5,000 penyokong menyaksikan pemain kelab menjalani latihan bersama jurulatih, Manuel Pellegrini menjelang pertembungan menentang juara bertahan EPL itu, semalam.

City muncul kelab penyokong pertama EPL melihat serta merasai suasana persekitaran baru dalam stadium.

Gelanggang kelab bergelar The Citizens itu melalui naik taraf termasuk bahagian baru di tempat duduk Selatan sejak beberapa tahun lalu.

Bagi menampung kapasiti seramai 55,000 penonton stadium terbabit mengadakan test bagi mendapatkan sijil keselamatan.

Kejayaan test serta penerimaan sijil keselamatan membolehkan tiket diagih kepada penyokong dalam senarai menunggu perlawanan menentang Chelsea.

Selain penonton lebih ramai berdepan skuad Jose Mourinho, Stadium Etihad bakal muncul sebagai padang ketiga terbesar dalam saingan EPL.

Penyokong City pasti merasai bahang sokongan untuk skuad itu berikutan kemenangan di tempat sendiri menewaskan West Brom 3-0 pada perlawanan pembukaan.

Nama pemain bintang seperti Sergio Aguero, David Silva, Yaya Toure dan pemain kontroversi baru ditandatangani, Raheem Sterling menerima sambutan hangat ketika diperkenalkan kepada peminat.

City satu-satunya kelab meledak tiga jaringan pada perlawanan pertama dan kini menduduki tangga teratas EPL.

Chelsea perlu bangkit selepas dipalit kontroversi Mourinho bertelagah dengan doktor pasukan, Eva Carneiro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 6:24 PM