PENGHASILAN labu sayong selari dengan gaya hidup hari ini.

Kuala Kangsar antara kota tertua di negara ini dan terkenal sebagai Bandar Diraja Perak.

Mukim Sayong pula menyimpan pelbagai cerita ketamadunan bangsa Melayu dan perusahaan labu sayong.

Sebuah monumen labu sayong gergasi didirikan di tengah bandar, sekali gus menjadi identiti bandar Kuala Kangsar.

Mukim Sayong atau nama asalnya ‘Sai Ong’ merangkumi lima lembah utama iaitu Sayong Lembah, Sayong Te­ngah, Sayong Tebing, Sayong Hulu merentasi Sungai Perak ke Kota Lama Kanan.

Menurut penduduk tempatan, ‘Sai Ong’ sebenarnya turut dikatakan sebagai sayong berikutan pedagang dari China menerokai Sungai Perak dan berlabuh di Mukim Sayong serta berdagang dengan penduduk tempatan.

Waktu berlalu, masyarakat kemudian berupaya menghasilkan peralatan rumah menggunakan tanah.

Labu mula beransur-ansur digantikan dengan sejenis tembikar yang sama bentuk dan fungsinya dengan labu serta dikenali sebagai bekas air berbentuk buah labu.

Tembikar berbentuk labu dipanggil orang ramai sebagai ‘labu’ dan disebabkan ia berasal dari mukim Sayong, seramik berbentuk labu itu dipanggil pula labu sayong.

Aliran penyatuan kuasa, ruang dan alam mematangkan pemikiran manusia yang sentiasa mencari kesempurnaan.

Keadaan itu menyebabkan wujudnya perusahaan seramik secara komersial di Lembah Sayong.

Labu yang dihasilkan asalnya hitam dan fungsinya untuk mengisi air kini berubah wajah kepada bentuk yang pelbagai.

Pengusaha seni ini yang terdiri daripada generasi ketiga kreatif menghasilkan seramik pelbagai fungsi dengan penggunaan bahan dan teknik baru.

Kebanyakan bentuk labu sayong dihasilkan dengan menerapkan motif alam sekitar seperti bunga padi, bunga cengkih, pucuk rebung dan geometri.

Fungsi utama labu ini bukan sekadar hiasan di dapur, malah menghiasi taman ataupun laman, hiasan dalaman mahupun cebisan seni menghiasi ruang gedung ternama.

Kini, bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru menerusi rekaan khas.

Ia mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan bekas telur sebagai cenderahati pada majlis perkahwinan.

Bekas ini dibentuk dan diukir dengan teliti menggunakan motif ukiran tradisional seperti bunga tanjung, daun buluh serta senduduk.

Produk yang dihasilkan ditambah nilai bahan raku, hiasan permukaan yang dipelbagaikan dan kelihatan juga saiznya yang berbeza-beza.

Ini membuktikan peredaran waktu bukan saja mengubah bentuk, malah mengubah seni dan fungsi dengan bantuan teknologi baru.

Kebiasaannya pengusaha tidak menghadapi masalah dalam memenuhi permintaan tinggi terhadap produk kraf ini kerana mereka menggunakan teknologi moden dan proses pembakaran menggunakan mesin khas.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM