KHAIRY (tengah) mahu Zulfadli sertai BAM.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: “Prestasi dia (Zulfadli Zulkifli) baik ketika ini malah, jika diasah dengan program lebih baik saya percaya dia mampu muncul sebagai pemain berkaliber dan pengganti kepada jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei,” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Justeru, Khairy mahu Zulfadli mempertimbangkan sebaik-baiknya tawaran menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan bakat pemain perseorangan badminton negara itu tidak disia-siakan.

Menurutnya, beliau juga berharap pemain yang pernah bergelar juara remaja dunia dan Asia 2011 itu dapat memikirkan tawaran terbabit demi masa depannya.

“Pelbagai kelebihan termasuk kemudahan sukan serta program kejurulatihan lebih tersusun dapat disediakan bagi melonjakkan stamina dan prestasi permainannya jika menyertai BAM.

“Saya amat berharap Zulfadli dapat memikirkan masa depannya dalam sukan badminton, dia mempunyai bakat amat bagus, amat rugi jika tidak dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media semalam.

Khairy berkata, kementerian dan BAM tidak mampu membantu Zulfadli secara menyeluruh selagi dia bergerak sebagai pemain bebas di bawah kendalian bapanya, Zulkifli Sidek.

“Saya berharap dia dan bapanya dapat fikirkan permintaan ini, bila dia berada dalam sistem kebangsaan kita dapat bantu dia, memperbaiki mana-mana kelemahan yang ada serta mempertingkatkan kecergasan dan mutu permainan,” katanya.

Zulfadli yang kini menduduki ranking ke-41 dunia tumpas pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Stadium Tertutup Istora Senayan, Jakarta, Indonesia kelmarin.

Dia kalah kepada pemain Hong Kong, Wei Nan 21-15, 21-9 di mana Wei Nan hanya memerlukan masa selama 28 minit untuk menang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:04 AM