KHAIRUL tekad beri persembahan terbaik.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Benteng pertahanan yang semakin longgar menjadi punca utama mengapa gawang Pahang mudah bolos terutama pada dua perlawanan terakhir mereka yang menyaksikan tujuh gol berjaya dihasilkan lawan.

Justeru, kelemahan itu perlu segera diperbaiki bagi memastikan misi menjinakkan Perak di Stadium Perak, Ipoh malam ini menjadi kenyataan seterusnya membuka laluan kepada Tok Gajah untuk menjulang piala Liga Super musim ini.

Ketua pasukan Tok Gajah Razman Roslan berkata, pada dua perlawanan terakhir Pahang, benteng pertahanan agak longgar dan mudah hilang punca hingga menyebabkan lawan menghasilkan jaringan.

Katanya, tujuh gol pada dua perlawanan dianggap perkara luar jangkaan kerana sebelum ini pintu gol Tok Gajah tidak mudah dibolosi oleh mana-mana pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Saya tidak menyalahkan penjaga gol Khairul Azhan Mohd Khalid dalam kes ini... dia sudah memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan sejak mula saingan Liga Super hingga ke hari ini.

“Sebaliknya, kelonggaran benteng pertahanan menyebabkan gawang Tok Gajah mudah dibolosi dan episod ini begitu ketara pada perlawanan dengan LionsXII dan Kelantan yang menyaksikan kami terlepas tujuh gol,” katanya.

Razman berkata, sebagai ketua pasukan dan pemain pertahanan, kelemahan itu tidak perlu disembunyikan kerana jika ia terus berlarutan pada baki saingan Liga Super, misi menjulang kejuaraan pasti lebur.

Menurutnya, dia yakin peminat pasukan Pahang dapat menilai sendiri kelonggaran benteng pertahanan terutama pada perlawanan dengan Kelantan baru-baru ini walaupun Tok Gajah berjaya mencatat kemenangan.

Katanya, jurulatih (Zainal Abidin Hassan) juga sebelum ini pernah bercakap mengenai kecuaian benteng pertahanan yang menyebabkan Pahang tewas 2-4 kepada LionsXII hingga menjejaskan peluang menjulang piala Liga Super.

Mengenai perlawanan dengan Perak malam ini, Razman berkata, walau apa cara sekalipun Tok Gajah perlu berusaha mencatat kemenangan bagi menghidupkan peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:07 AM