Agensi

Beijing: Seorang bekas tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua didakwa membantu mengambil otak daripada tahanan China yang masih hidup untuk sarjannya yang percaya memakan organ berkenaan mampu mengubati penyakit kelamin dihidapnya, menurut pengakuan disiarkan Pentadbiran Arkib Kebangsaan China, semalam.

Pengakuan Korporal Takashi Mikami yang ditugaskan di wilayah Shandong di timur China dari 1942 hingga Ogos 1945 antara 31 pengakuan yang ditulis penjenayah perang Jepun yang disiarkan di Internet pada ulang tahun ke-70 tamat perang berkenaan.

Dalam pengakuan bertarikh 1 Ogos 1954 itu, Mikami turut mengaku membunuh orang awam dan merogol puluhan wanita.

“Ketika ditugaskan di Linqing, Sarjan Getsuji kerap mengarahkan anggota mengambil otak daripada orang yang masih hidup. Pada 1942 saya meminta Lans Korporal Yokokura mendapatkan beberapa otak untuknya.

“Yokokura membawa otak petani China. Saya memasaknya, menyimpannya dalam periuk dan menyerahkan kepada Sarjan Getsuji sebagai ubat untuk penyakit kelaminnya,” katanya.

Selain itu, Mikami mengaku menyeksa dua petani China ketika menyoal siasat mereka di Guantao pada Ogos 1942.

“Apabila mereka enggan bercakap, saya dan lima yang lain diarahkan membunuhnya dengan menikamnya di dada sebelum menanamnya,” kata pengakuan itu.

Selain itu, Mikami menceritakan serangan di sebuah kampung yang mengakibatkan kematian 370 askar dan penduduk serta mengaku merogol sekurang-kurangnya lapan wanita Korea di Shandong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:11 AM