MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh (sebelas dari kanan) dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching (dua belas dari kiri) bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid (sepuluh dari kanan) dan Ketua Setiausaha, Tan Sri Madinah Mohamad (sebelas dari kiri) bersama menteri-menteri Pendidikan dari negara Asia Pasifik pada ACET 2015 di Hotel Berjaya Times Square.
Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebolehpasaran graduan pada masa kini tidak lagi diukur dengan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangi dengan kemahiran termasuk latihan teknikal serta vokasional supaya lebih relevan dengan perubahan persekitaran pasaran kerja abad ke-21 yang memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, masalah pengangguran tinggi berikutan ketidaksepadanan kemahiran dengan pasaran tenaga kerja dalam kalangan anak muda bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh, namun ia cabaran terbesar yang perlu ditangani seluruh dunia termasuk negara di rantau Asia Pasifik.

Menyedari hakikat itu, ACET 2015 merangka lapan agenda utama memfokuskan pemerkasaan bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti yang terkandung dalam Deklarasi Kuala Lumpur sebagai persediaan memenuhi kehendak pasaran kerja dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran abad ke-21.

Deklarasi Kuala Lumpur dibentangkan dalam Persidangan Asia Pasifik Mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) 2015 yang berlangsung tiga hari di ibu negara minggu lalu dan diterima sebagai dokumen pertama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai bidang TVET.

Ia meletakkan lapan garis panduan yang bakal menentukan kemajuan pendidikan teknik dan latihan vokasional berasaskan pola pekerjaan yang sedang berkembang di rantau Asia Pasifik.

l

Agenda pertama ialah meningkatkan kualiti TVET dan kaitannya dengan perubahan keperluan pasaran kerja supaya permintaan dan penawaran kerja lebih seimbang.

Ini bermakna negara anggota perlu mengubah dan mengembangkan TVET serta memberi perhatian lebih kepada pengukuhan antara hasil dan perubahan keperluan pasaran pekerja.

Usaha ini perlu dilakukan menerusi kajian pasaran pekerja, pembabitan sektor swasta, memupuk interaksi antara pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan, dunia kerja selain keusahawanan.

l

Agenda kedua ialah memastikan TVET yang inklusif dan saksama dengan mempelbagaikan peluang pembelajaran TVET kepada semua golongan termasuk masyarakat kurang bernasib baik, orang kurang upaya (OKU), etnik minoriti dan mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Langkah ini penting supaya tiada sesiapa pun tercicir peluang mempelajari bidang TVET dan menikmati hasilnya kelak.

l

Agenda ketiga adalah pembangunan TVET dan dasar pembangunan kemahiran berpandukan prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan mewujudkan peluang untuk semua golongan tanpa sebarang diskriminasi.

Usaha ini bertujuan membolehkan pembangunan profesional dan meningkatkan kemahiran serta kecekapan semua golongan dalam kelangsungan hidup.

l

Agenda keempat ialah kemahiran hijau untuk kelestarian pembangunan program TVET yang perlu diintegrasikan untuk mencapai pembangunan mampan termasuk pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Sebagai sebahagian daripada kelayakan TVET, semua negara perlu sistematik menyeragamkan standard program, melengkapkan sistem TVET dengan pendekatan institusi menyeluruh sebagai pusat latihan dan pembelajaran selain meningkatkan kapasiti profesional guru dan jurulatih.

l

Agenda kelima ialah TVET perlu digalakkan sebagai pembelajaran yang menarik dan menyediakan pelbagai laluan kerjaya. Ini bermakna satu program bimbingan dan kaunseling yang berkesan perlu diberikan kepada belia, keluarga dan masyarakat setempat supaya menarik minat mereka menceburi bidang ini.

l

Agenda keenam adalah mengajak negara anggota membangunkan satu rangka kerja sesuai untuk mengukuhkan tadbir urus dalam TVET menerusi perkongsian pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat setempat dan pihak swasta. Ini bertujuan menjana pendapatan dan menambah pelaburan untuk pembangunan TVET.

l

Agenda ketujuh memberi penekanan kepada penyediaan akses yang lebih meluas kepada TVET menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Akses ini mempunyai potensi besar bagi menjadikan pengalaman pengajaran dan pembelajaran lebih relevan mengikut keperluan semasa pasaran kerja serta kemudahan ICT perlu ditingkatkan di institusi TVET.

l

Agenda kelapan ialah pertukaran pengalaman, perkongsian pengetahuan dan pembelajaran melalui rakan serantau antara negara anggota amat digalakkan. Usaha ini bertujuan mewujudkan jaringan lebih luas dan pergerakan tenaga kerja dalam kalangan negara anggota.

Apa yang pasti deklarasi ini bukan sekadar dokumen biasa, namun ia adalah satu pelan tindakan bagi negara Asia Pasifik bergerak ke depan untuk pembangunan TVET yang lebih inklusif, saksama dan mapan dalam menyediakan modal insan berkemahiran yang memenuhi keperluan industri.

Agenda yang digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur itu adalah rangka tindakan yang jelas sejajar dengan keperluan guna tenaga abad ke-21 sebagaimana terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Prasekolah hingga Lepasan Menengah) 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Ia juga akan mengorak langkah ke arah menjayakan transformasi TVET yang turut diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020).

Ia diluluskan dan diterima pakai oleh 26 negara termasuk Malaysia, Afghanistan, Bangladesh, Brunei, Kemboja, India, Iran, Jepun, Kiribati, Kyrgyzstan, Laos, Maldives, Kepulauan Fiji, Solomon dan Marshall, Nepal, Papua New Guinea, Samoa, Singapura, Thailand, Tonga, Turkmenistan, Tuvalu, Uzbekistan, Vanuatu dan Vietnam.

Pengisytiharan ini sekali gus mencerminkan titik persamaan kata sepakat dalam kalangan perwakilan di ACET bahawa pendidikan di universiti bukan satu-satunya tiket untuk meraih sebarang pekerjaan, namun mereka masih ada pilihan dengan melihat potensi dan kemahiran dalam diri mereka yang perlu dicungkil.

Oleh itu, untuk mengenal pasti potensi sebenar TVET dalam kalangan anak muda, negara anggota terbabit perlu berusaha gigih sepakat dalam mengukuhkan sistem TVET untuk meningkatkan kerelevanan dan daya tarikannya di samping akademik.

Ini sudah pasti menuntut tanggungjawab negara anggota Asia Pasifik termasuk Malaysia sendiri berikrar memberikan komitmen sepenuhnya untuk TVET dan pembangunan kemahiran berterusan di rantau ini.

Sekiranya rangka kerja yang difokuskan dalam deklarasi ini disepakati serta dilaksanakan semua negara anggota terbabit, sudah pasti ia akan menjadi penyelesai kepada masalah pengangguran tinggi dalam kalangan belia di Asia Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:44 AM