X

Shah Alam: Platinum Oil & Gas Sdn Bhd (Platinum Oil) syarikat Bumiputera yang memasarkan pelbagai produk minyak pelincir kenderaan dan komersial jenama Platinum Oil menyasarkan untuk melahirkan lebih 400 usahawan menjelang tahun depan.

Ketika ini syarikat yang mula beroperasi sejak 2010 itu berjaya melahirkan kira-kira 200 usahawan di seluruh negara terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Hashim berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan segmen minyak pelincir yang semakin berkembang setiap tahun.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan lima tahun lalu Platinum Oil sudah mempunyai 24 wakil pengedar serta lebih 200 ejen dan peruncit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Di negara ini terdapat 11 juta kenderaan dan pasaran minyak pelincir dalam setahun kira-kira RM2 bilion sekali gus menunjukkan pasarannya luas.

“Sejak beroperasi, mereka yang menjadi pengedar, ejen serta peruncit terdiri daripada suri rumah sehinggalah golongan profesional antaranya pensyarah, jurutera dan peguam,” katanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika ini usahawan yang dilahirkan syarikat berkenaan memperolehi pendapatan purata kira-kira RM20,000 dan ia mengubah kehidupan mereka yang ada antaranya pernah hidup susah satu ketika dulu.

Katanya, setiap usahawan syarikat berkenaan dibimbing melalui seminar yang diadakan selain pihaknya melakukan pemantauan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan membawa kejayaan.

“Saya mahu lebih ramai lagi Bumiputera membabitkan diri dalam industri ini dan atas kesedaran itu, saya melatih lebih ramai usahawan Muslim untuk berjinak-jinak dalam perniagaan minyak pelincir dan rawatan enjin dengan menjadi pengedar dan peruncit produk ini.

“Bagi merealisasikan usaha itu, saya menganjurkan seminar usahawan Muslim Platinum Oil dan ia mendapat sambutan menggalakkan kerana ramai berminat mendalami ilmu perniagaan berlandaskan syariat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:22 AM