PELBAGAI jenis buah dan sayuran boleh didapati dengan mudah untuk dicampur ke dalam salad yang berkhasiat.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Pengambilan pelbagai jenis buah dan sayuran yang kaya dengan vitamin, mineral serta antioksidan selain air ternyata penting untuk menjaga kesihatan badan.

Justeru, menyediakan hidangan salad yang ditambah dengan pelbagai jenis sayur dan buah yang berkhasiat antara cara mudah serta kreatif dalam mengamalkan diet seimbang.

Namun, terdapat cara yang betul membuat salad untuk memastikan setiap bekalan nutrien badan dapat dipenuhi. Caranya dengan menambah pelbagai jenis buah dan sayuran berwarna untuk membekalkan antioksidan berlainan.

Buah-buahan kering, kekacang, bijian, herba dan kuah salad menjadikan hidangan lebih lazat, berkhasiat serta boleh menggantikan sajian makanan utama.

Kebaikan salad

Pakar pemakanan MBG Sharanyha Kokilathasan berkata, salad buah memberi banyak manfaat kepada badan seperti mengawal berat badan kerana kandungan kalori rendah serta mengenyangkan selain sesuai untuk menggantikan manisan.

“Menambah kuah atau sos ke dalam salad bukan saja membangkit selera, tetapi menambah tenaga. Bagaimanapun, ingatlah garis panduan tertentu apabila memilih makanan daripada bar salad yang disediakan.

“Pertimbangkan tahap toleransi, keadaan kesihatan dan juga keperluan khusus anda. Misalnya, sesetengah individu mungkin alah kepada makanan kering yang berkhasiat seperti kacang manakala mereka yang alah laktosa hendaklah mengelakkan kekacang serta mayonis,” katanya.

Ujarnya, pengambilan sejumlah kecil buah dan sayuran tidak mendatangkan mudarat, tetapi berhati-hati jika ia diambil dalam saiz besar kerana ia boleh menjejaskan keadaan kesihatan individu tertentu.

Misalnya, pesakit diabetes sewajarnya mengelakkan pengambilan terlalu banyak tembikai kerana ini boleh melonjakkan paras gula. Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, gunakan kreativiti dan buat pilihan berasaskan kecenderungan.

Untuk kuah yang lebih sihat, pilih minyak zaitun yang sihat dan cuka kegemaran bersama tambahan buah-buahan kering serta kekacang.

Buah-buahan utama yang boleh dipilih daripada bar salad termasuk anggur, kiwi dan mangga, epal serta beri. Anggur mengandungi resveratrol yang membantu mengembangkan saluran darah dan menambah keupayaan perlindungan otak.

“Anggur juga baik untuk pesakit asma kerana ia menambah lembapan dalam paru-paru dan mengurangkan serangan penyakit itu. Mangga yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan pula membantu menguatkan daya ketahanan, mengawal diabetes serta menurunkan indeks glisemia.

“Asid tartarik berfungsi mengalkalikan badan dan kaya dengan zat besi yang baik untuk menangani masalah anemia. Kiwi, makanan yang kaya dengan nutrien ini membantu fungsi penghadaman manakala kandungan kalium yang tinggi mengimbangkan tekanan darah kita,” katanya.

Buah yang dimakan begitu saja membekalkan lebih banyak nutrien daripada jus apabila dilihat menerusi dua komponen iaitu kulit dan pulpa (isi).

Pulpa adalah sumber penting serat dan nutrien. Dalam proses membuat jus, pulpa akan dibuang. Jus buah mempunyai indeks glisemia lebih tinggi dan kandungan serat yang rendah, membolehkannya melalui sistem penghadaman dengan cepat.

Jus buah boleh diminum sebelum makan kerana ia akan membekalkan tenaga segera dan tidak membuat kita rasa kenyang.

Kombinasi buah segar dan jus minuman baik untuk penjagaan kesihatan setiap hari terutama untuk membantu membekalkan tenaga segera serta menikmati khasiat pemakanan.

Kempen pemakanan sihat

Pesta buah tahunan MBG FruitShop, “Yes! Fruits” untuk merayakan Hari Buah-Buahan Antarabangsa diadakan kembali dengan lebih banyak inisiatif untuk menggalakkan orang ramai menjalani kehidupan seharian secara lebih sihat.

Pengarah Urusannya Adnan Lee berkata, pesta berkenaan diadakan bertujuan menggalakkan rakyat di negara ini makan lebih banyak buah menerusi pelbagai aktiviti seperti peraduan, demonstrasi memasak, maklumat pendidikan di semua cawangannya bermula 1 Julai hingga 31 Ogos depan.

“Jenama ini melangkah setapak lagi tahun ini dengan memperkenalkan bar salad buah-buahan baru di Tropicana City Mall dan Wangsa Walk.

“Bar salad buah-buahan ini untuk mereka yang mahu menggabungkan snek sihat terutama bagi individu yang sibuk dan memerlukan khasiat pemakanan segera,” katanya.

Pada masa sama, jenama berkenaan turut melakukan tinjau selidik dan peraduan di seluruh negara untuk memberi kesedaran kebaikan mengambil buah dan jus bagi menjaga kesihatan.

Jenama itu turut merancang mengadakan kempen “Nutritionist On The Go” bagi membolehkan orang ramai mendapatkan nasihat pemakanan daripada pakar pemakanan di kedai terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 12:05 PM