PETER Cetera.
Oleh Michelle Gun


Konsert Hitman David Foster and Friends Asia Tour 2015 yang menampilkan enam bintang hebat di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Jumaat lalu pastinya meninggalkan kenangan sukar dilupakan bagi peminat.

Lebih 5,000 penonton hadir menyaksikan persembahan mantap komposer tersohor, David Foster serta barisan penyanyi popular Boyz II Men, Natalie Cole, Peter Cetera, Ruben Studdard dan Jackie Evancho.

Acara bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Resorts World Genting itu membuka tirai pada jam 9 malam dengan Foster memetik piano secara solo dalam lagu Snowbirds dan Winter Games.

Pemenang anugerah Grammy 16 kali itu kemudian memperkenalkan penyanyi muda berbakat besar, Jackie Evancho,15, bagi persembahan seterusnya.

Foster turut memuji kehebatan vokal Evancho dan meletakkan penyanyi kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu sebaris dengan Celine Dion, Josh Groban dan Michael Buble.

“Saya bertemu dengan Jackie ketika dia berusia lapan tahun dan berharap melihat dia menyanyi di pentas Broadway tahun depan,” katanya.

Evancho menjadi penyanyi solo paling muda untuk mencapai album platinum di Amerika Syarikat dan terbabit dalam lebih 200 konsert di seluruh dunia sepanjang tujuh tahun membina karier dalam bidang nyanyian.

Tanpa membuang masa, penyanyi klasik itu memulakan persembahan dengan lagu berjudul Lovers diikuti muzikal popular pada 1986, The Phantom Of The Opera.

Suara soprano Evancho berjaya memukau penonton ketika menyampaikan lagu opera daripada pementasan Turandot, Nessun Dorma yang diilhamkan komposer Itali tersohor, Giacomo Puccini. Pentas kemudian diserahkan kepada Ruben Studdard yang juga pemenang juara musim kedua American Idol.

Bukan saja memiliki vokal mantap, pemilik nama sebenar Christopher Ruben Studdard itu turut berbakat menghasilkan lirik lagu dalam masa singkat.

Bagi membuktikan kebolehannya, Studdard menghasilkan sebuah lagu berdasarkan tajuk A Night With A Thousand Stars yang diberikan penonton.

Penyanyi R&B itu menghiburkan penonton dengan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan All 4 One, I Swear diikuti Look What You’ve Done dan

mengakhiri persembahannya dengan Home (Michael Buble).

Foster kongsi kisah kolaborasi dan kehebatan penyanyi

Dalam setiap persembahan, Foster juga bijak menaikkan suasana dewan dengan menghiburkan penonton dengan lawak jenakanya. Pemuzik itu turut menjemput penonton bertuah untuk menyanyikan sebuah lagu.

Acara dihangatkan dengan kemunculan Peter Cetera yang juga bekas anggota kumpulan Chicago.

Persahabatan Cetera dengan Foster sudah lama terjalin dan mereka berkolaborasi menghasilkan hit lagu Glory Of Love yang diangkat sebagai lagu tema filem The Karate Kid, Part II pada 1986.

Kali pertama datang ke negara ini, Cetera berkata, dia seronok mengadakan persembahan bersama Foster.

“Sering kali saya mendapat pertanyaan sekiranya pernah jemu mendengar lagu ciptaan David yang kerap dimainkan di mana-mana. Namun, jawapan saya adalah tidak kerana lagu berkenaan penting bagi saya,” katanya.

Sebelum mendendangkan lagu popular Chicago, You’re The Inspiration, Cetera memberitahu pada asalnya karya itu dihasilkan untuk Kenny Rogers.

“Saya masih ingat ketika menerima panggilan daripada David yang meminta saya ke studio menulis lirik untuk Kenny Rogers. Ketika itu saya bersama anggota Chicago bersiap untuk persembahan di Eropah.

“Bagaimanapun, selepas selesai menulis lirik, Kenny memberitahu dia tidak menyukai lagu itu,” katanya.

Menurut Cetera, lagu You’re The Inspiration kemudian dirakam dan dimuatkan dalam album Chicago berjudul Chicago 17.

Selain You’re The Inspiration, Cetera mendendangkan tiga lagu popular Chicago iaitu If You Leave Me Now, Hard To Say I’m Sorry dan 25 or 6 to 4.

Selesai persembahan Cetera, giliran anak penyanyi legenda Nat King Cole, Natalie Cole untuk ke pentas.

Biarpun keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan, pemenang sembilan kali anugerah Grammy itu masih mampu memberikan persembahan penuh bertenaga.

Cole menyentuhkan hati penonton dengan persembahan duet menerusi rakaman video dengan mendiang bapanya dalam lagu popular Unforgettable.

Penyanyi berusia 65 tahun itu turut mendendangkan lagu Miss You Like Crazy dan This Will Be.

Kemunculan kumpulan R&B popular, Boyz II Men antara persembahan yang dinanti-nantikan penonton.

Kumpulan dianggotai Nathan Morris, Shawn Stockman dan Wanya Morris itu mempersembahkan lagu popular evergreen mereka iaitu Motownphilly diikuti Water Runs Dry, I’ll Make Love To You dan End Of The Road.

Akhirnya, persembahan selama dua jam itu melabuh–kan tirainya dengan barisan penyanyi bergabung duet lagu popular The Beatles, Hey Jude.

Foster memberi sentuhan akhir dengan persembahan solo piano dalam lagu St. Elmo’s Fire (Man in Motion) yang diilhamkannya bersama penyanyi John Parr.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 1:56 PM