PENGURUS Produk Galaxy S2 Samsung Malaysia Electronics, Julian Thean (kanan) dan Ketua Pemasaran Produk Mobile Business Samsung Malaysia Electronics, Luke Au menunjukkan Samsung Galaxy Tab S2.

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics mengumumkan kemunculan peranti siri premium terbaru Galaxy Tab S2, direka sebagai tablet paling nipis dan ringan dengan bingkai logam anggun.

Tablet itu didatangkan dalam dua saiz berbeza iaitu 9.7 inci dengan berat 392g manakala 8.0 inci pada berat 272g, sempurna di tangan serta sesuai diletakkan di dalam beg bersaiz kecil.

Naib Presiden Mobil, IT & Pengimejan Digitalnya, Lee Jui Siang berkata, ia bukan sahaja tablet paling nipis dan ringan daripada saiz biasa, malah menyediakan pengguna paparan Super AMOLED yang dioptimumkan untuk melihat apa jua jenis kandungan digital.

“Ia sesuai untuk melayari kandungan digital termasuk e-buku, majalah, laman dan web. Nisbah membaca dioptimumkan membolehkan pengguna untuk menikmati pengalaman membaca dengan lancar.

“Kami percaya Tab S2 adalah peranti peribadi paling lengkap yang dicipta untuk memudahkan pengguna membawa dan menggunakannya di mana bagi pelbagai jenis tujuan,” katanya pada majlis pelancarannya di sini, baru-baru ini.

Galaxy Tab S2 9.7’ itu turut disertakan bersama Papan Kekunci Buku bagi menyediakan pengalaman menaip seperti komputer dalam melaksanakan tugasan tanpa batasan.

“Untuk kekal berdaya saing dalam pasaran tempatan, syarikat gergasi telefon bimbit juga sedar bahawa tablet popular digunakan untuk tujuan hiburan. Tidak dapat dinafikan pengguna semakin mencari peranti mudah alih yang mampu memenuhi keperluan peribadi mereka untuk kedua-dua produktiviti dan hiburan,” katanya.

Galaxy Tab S2 disempurnakan oleh iflix, perkhidmatan TV Internet Asia Tenggara dan Samsung Milk Music, perkhidmatan radio digital yang direka khas untuk pengguna Samsung.

Samsung Galaxy Tab S2 tersedia dalam pelbagai sambungan, penyimpanan dan pilihan saiz iaitu 9.7’ dan 8.0’ versi LTE mempunyai simpanan sebanyak 32GB selain MicroSD sehingga 128GB. Ia boleh didapati di pasaran Malaysia bermula dari 14 Ogos 2015 dalam warna emas, putih dan hitam pada harga masing-masing bernilai RM1,999 dan RM1,699.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 6:59 AM