London: Polis Britain sedang menyiasat rakaman video seorang remaja perempuan membelasah mangsanya, juga seorang remaja perempuan sambil diperhatikan orang ramai termasuk kanak-kanak.

Dalam video yang dikatakan dirakam di Cowdenbeath, Fife, remaja perempuan itu dilihat menekan mangsa ke tembok sambil ketawa sebelum mengheret mangsa jatuh ke tanah dan menekan lututnya pada kepala mangsa.

Rakaman selama tiga minit setengah yang sudah ditonton lebih 1.2 juta kali itu menunjukkan remaja perempuan itu menjeritkan kata-kata kesat kepada mangsa sambil membelasahnya.

Dia juga dilihat menghentak kepala mangsa ke tanah beberapa kali walaupun rakan-rakannya menyuruhnya berhenti.

Remaja perempuan itu berkata dia berbuat demikian sebagai balasan tindakan bapa mangsa membuat laporan polis terhadap bapanya.

Jurucakap polis berkata, pihaknya sedang menyiasat rakaman video itu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 6:28 PM