KEROSAKAN pada pesawat Singapore Airlines selepas dirempuh burung. FOTO Facebook/7 News Sydney

Singapura: Pesawat Singapore Airlines SQ391 terpaksa berpatah balik ke Istanbul selepas dilanggar burung ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Turki untuk ke Singapura, semalam.

Menurut laporan Channel News Asia hari ini, pesawat yang membawa 255 penumpang dan 14 anak kapal bagaimanapun selamat mendarat secara biasa di lapangan terbang itu.

Pesawat Boeing 777-200 itu dijadualkan berlepas dari Istanbul ke Singapura pada 1.30 petang Isnin (waktu Istanbul) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, 5 pagi tadi.

"Singapore Airlines membuat perancangan bagi penumpang untuk menaiki penerbangan lain atau ditempatkan di hotel," kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

"Jurutera kami kini sedang menilai tahap kerosakan akibat kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 11:57 PM