PEMAIN Kuantan FA, Hazwan Fakhrullah meraikan gol pertama. FOTO Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN Kuantan FA, Hazwan Fakhrullah meraikan gol pertama. FOTO Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Wakil kelab Pahang, Kuantan FA menyasarkan tiga mata apabila berdepan T-Team pada aksi terakhir Liga Perdana 2015 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat ini.

Penolong jurulatih Kuantan FA, Shukri Ismail berkata, kemenangan tersebut penting memandangkan ia adalah peluang terakhir pasukan kelab berkenaan untuk terus kekal bersaing pada Liga Perdana 2016.

"Kita sedang bersaing dengan Kuala Lumpur di tangga terbawah liga dan saya harap kita dapat menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat kemenangan untuk terus kekal dalam Liga Perdana musim depan," katanya.

Terdahulu, Kuantan FA mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Merdeka hasil jaringan Hazwan Fakrullah Zuridi pada minit ke-10 dan Fabrice Noel pada minit ke-81 dalam aksi ke-21 Liga Perdana.

Perlawanan terpaksa dihentikan seketika berikutan tindakan segelintir penyokong Kuala Lumpur yang memasuki padang selain turut membakar suar selepas Fabrice menjaringkan gol kedua untuk pasukan pelawat.

Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Tan Siew Seng pula mengkritik pemainnya yang gagal menjaringkan gol walaupun mendapat banyak peluang di depan pintu gol lawan.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada pemain mudanya bahawa mereka perlu menjaringkan gol untuk mencatat kemenangan ketika menentang NS Matrix dalam perlawanan di tempat lawan pada Jumaat ini atau berdepan penyingkiran ke Liga FAM pada musim depan.

"Kami tidak ada pilihan kerana perlu mengalahkan NS Matrix di laman mereka. Ia pasti perlawanan yang sukar kerana ia merupakan perlawanan terakhir musim ini dan saya harap pemain belajar daripada kekalahan hari ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikshan yang turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan, menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan polis untuk mengambil tindakan susulan atas perbuatan membakar suar itu.

Kedua-dua pasukan terikat 18 mata selepas beraksi dalam 21 perlawanan namun Kuala Lumpur berada di tangga ke-10 manakala Kuantan FA di tangga ke-11 berdasarkan perbezaan jaringan.

SPA Putrajaya FC menjadi pasukan pertama tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan selepas menghuni tangga terakhir daripada 12 pasukan dengan kutipan 11 mata selepas beraksi 21 perlawanan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 12:08 AM