Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kelantan perlukan sentuhan ‘magis’ untuk bertemu Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini selepas lapan tonggak utama tidak dapat beraksi kerana kecederaan serta digantung permainan.

Senario di luar dugaan itu menjadikan skuad kendalian Zahasmi Ismail tempang, sekali gus menjejaskan persiapan mereka selepas kemenangan meyakinkan ke atas Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Lima pemain Norhafiz Zamani Misbah, Nor Hazrul Mustapha, Khairul Izuan Rosli serta dua import Gilmar Da Santos Filho dan Austin Amutu digantung kerana tiga kad kuning.

Ahmad Fakri Saarani, Amiridzwan Taj Tajuddin dan Wan Zack Haikal Wan Noor pula terpaksa diketepikan keana masing-masing mengalami kecederaan.

Zahasmi berkata, kehilangan beberapa tonggak utama itu membingungkan sejak mengambil alih tugas daripada Mohd Azraai Khor Abdullah, namun, sebagai jurulatih, beliau berkata, tidak boleh mudah panik.

Katanya, beliau perlu menggunakan Pelan B untuk mengharungi tugas getir itu kerana misi wajib menang ke atas Selangor perlu diteruskan dalam usaha memperbaiki kedudukan liga.

“Mungkin saya kehilangan ramai tonggak utama termasuk dua pemain import tapi saya masih mempunyai beberapa pemain lain seperti Mohd Norfarhan Muhammad, Wan Zaharulnizam, Mohd Badri Radzi, Jonathan McKain dan juga Erwin Carillo yang dijangka mampu menggalas tanggungjawab berat itu.

“Selain itu, dua tiga pemain skuad Presiden juga akan dipanggil bagi melengkapkan kesebelasan utama pemain dan insya-Allah, kami boleh mengimbangi kekuatan Selangor jika semua pemain mengikut segala arahan,” katanya.

The Red Warriors (TRW) hanya mendaftarkan 22 daripada kuota 25 pemain, awal musim ini sebelum kehilangan Brendan Gan dan Mohd Nazri Ahmad akibat kecederaan ACL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:30 AM