KAKITANGAN F&N Diaries bersama pelajar  mempelajari sesuatu mengenai tumbuhan herba.
KAKITANGAN F&N Diaries bersama pelajar mempelajari sesuatu mengenai tumbuhan herba.
OOI menanam pokok kari sebagai tanda merasmikan Taman Herba Mini pelajar.
OOI menanam pokok kari sebagai tanda merasmikan Taman Herba Mini pelajar.
PELAJAR SMK Pulau Indah gembira dapat mempelajari mengenai herba.
PELAJAR SMK Pulau Indah gembira dapat mempelajari mengenai herba.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Jika sebelum ini pembelajaran lebih banyak di bilik darjah, peluang yang diberikan kepada 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah (SMK Pulau Indah), Klang memberikan sesuatu yang cukup bermakna.

Peluang mendekati dan melihat secara dekat pokok herba serta mempelajari rahsia kegunaannya sejak zaman-berzaman sama ada untuk tujuan perubatan atau masakan menjadikan pelajar lebih memahami serta menghargai tumbuhan herba ini.

Lebih menarik apabila ia berlaku dalam persekitaran sekolah apabila mereka menukar sepetak tanah di laman sekolah menjadi Taman Herba Mini yang diuruskan 85 ahli Kelab Agro-Teknologi sekolah berumur 13 hingga 17 tahun, ditaja F&N Dairies (Malaysia) Sdn Bhd.

Tanam mini ini kini dihiasi 10 spesies pokok boleh dimakan dan digunakan untuk tujuan perubatan termasuk tongkat ali (eurycoma longifolia), asam jawa, stevia dan daun belalai gajah.

Program Taman Herba Mini adalah usaha kerjasama pertama F&N Dairies dengan sekolah tempatan untuk memanfaatkan kawasan lapang dan membiasakan pelajar dengan tumbuh-tumbuhan khazanah alam semula jadi sambil mewujudkan persekitaran yang membantu pembelajaran pelajar sekolah.

Pengurus Besar F&N Dairies Manufacturing Ooi Peng Hock menjelaskan, inisiatif ini bertujuan untuk mengekal dan meningkatkan kesedaran terhadap herba dan kepentingan serta kegunaannya dalam bidang perubatan dan masakan.

“Pemodenan terutama pendigitalan kehidupan kita menjauhi diri kita dari alam semula jadi. Oleh itu, penting untuk menyemaikan pengetahuan dan tradisi berkaitan sumber alam semula jadi.

“Taman herba mini ini menunjukkan komitmen kami untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat. Kami berharap taman ini akan menggalakkan kesejahteraan alam sekitar, sosial dan fizikal masyarakat sekolah dan memupuk kefahaman lebih baik mengenai peranan alam sekitar dalam menyokong kesejahteraan dan kelangsungan hidup,” katanya.

Tambahnya, aktiviti amali dan program luar bilik darjah seperti Taman Herba Mini memberi peluang kepada pelajar untuk menanam dan menghargai herba dalam persekitaran taman dan menikmati herba segar hasil titik peluh mereka.

Lebih penting, program ini membolehkan pelajar memahami kesannya ke atas alam sekitar dan peranan mereka untuk menambah baik persekitaran tempatan.

Menurut Penasihat Kelab Agro-Teknologi Azmi Abu Bakar, orang ramai biasanya tidak menghiraukan khasiat kebaikan herba. Inisiatif Taman Herba Mini diterapkan khusus dalam sukatan pelajaran untuk mendidik pelajar mengenai penggunaan herba secara betul untuk tujuan perubatan dan masakan.

“Pelajar kami teruja mendapat persekitaran baru yang menyeronokkan membolehkan mereka mengamalkan apa yang mereka pelajari dalam bilik darjah,” katanya.

Pelancaran Taman Herba Mini turut menjadi majlis merasai herba apabila kakitangan F&N Dairies Manufacturing, guru dan pelajar merasai buat kali pertama kemanisan daun stevia yang biasa digunakan sebagai pemanis semula jadi. Mereka terkejut dengan banyak kegunaan stevia terutama rasanya yang manis.

“Herba bukan saja boleh menukar makanan yang tawar dan hambar menjadi sajian masakan lazat, tetapi memberi khasiat kesihatan. Sebagai contoh, stevia membantu kita menikmati kemanisan semula jadi dan digunakan untuk menggantikan gula, terutama untuk pesakit diabetes,” kata Muhammad Arif Helmie Rozlan, 17.

Ujar Muhammad Rozaimie Mohd Noor, 17, pula mereka juga menambah herba yang boleh dimakan dari taman ini dalam makanan ketika kelas memasak. Daun belalai gajah contohnya, sesuai digabungkan dengan epal hijau untuk membuat jus yang menjadi kegemaran semua.

Pengerusi Kelab Agro-Teknologi Amin Azizi Rusli pula menyatakan minatnya terhadap herba dan perkebunan menerusi penyertaan dalam aktiviti kelab.

Dia akui tenang dan fokus apabila memandang pokok hijau dan berazam ingin melanjutkan pengajian dalam kursus berkaitan landskap selepas menamatkan pengajian.

Selepas menikmati manisan pada majlis pelancaran, hadirin menikmati makan tengah hari dan teh tarik kahwin F&N yang terkenal kerana keenakannya. Beg hadiah juga diberikan kepada peserta di akhir majlis sebagai penghargaan atas usaha mereka.

F&N Dairies yang menempatkan kilang pengeluaran susu pekatnya yang serba moden di Asia Tenggara berharga RM370 juta di Hab Halal Pulau Indah, menjadikan SMK Pulau Indah sebagai sekolah angkat di bawah inisiatif tanggungjawab sosial untuk menghijaukan komuniti kejiranannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:07 AM