PENGGUNA Nur Faezah Sharif mencuba minyak baru Euro 4M Ron97.
PENGGUNA Nur Faezah Sharif mencuba minyak baru Euro 4M Ron97.

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Berhad (PDB) memperkenalkan bahan api petrol terbaru, Petronas Primax 97 (Ron97) yang pertama di negara ini dengan formula tenaga dirumus khas menepati spesifikasi Euro 4M.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Ibrahimnuddin Yunus berkata, sebanyak 580 stesen minyak Petronas di seluruh negara mula menjual Euro 4M Ron97 yang mempunyai tahap sulfur, benzena dan Reid Vapour Pressure (RVP) lebih rendah.

Beliau berkata, petrol itu adalah rumusan baru pertama di dunia yang mengurangkan geseran pada dinding silinder dan memulihkan ciri pelinciran minyak enjin untuk menghasilkan pecutan lebih lancar.

“Bahan api baru dari Petronas ini dihasilkan dari loji penapisan Kertih dan Melaka. Minyak ini hasil penyelidikan kami dan bukan bahan api yang diimport,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Euro 4M Ron97 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin di sini, semalam.

Beliau berkata, PDB menjadi syarikat pertama di Malaysia memperkenalkan petrol tanpa plumbum pada Ogos 1990 dan Ron 97 teknologi baru bertaraf dunia, Euro 4M.

Menurutnya, setiap tahun PDB memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex), RM500 juta dan lebih kurang 50 peratus diperuntukkan bagi segmen runcit termasuk pengenalan bahan api baru ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh mencuba Euro 4M Ron97 di stesen minyak Petronas bagi melindungi enjin dengan bahan api rendah sulfur pertama negara serta memberikan pembakaran lebih baik menggunakan teknologi yang membawa kemenangan di litar lumba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 6:21 AM
Digital NSTP Subscribe