Oleh Mohd Firdaus Hashim


Selayang: Selepas mengharungi 1,800 minit membabitkan 20 aksi saingan Liga Super musim ini, akhirnya pasukan yang sudah mengesahkan slot ke Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC berjaya melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam tadi.

Biarpun aksi kedua-dua pasukan tidak lagi membawa sebarang erti susulan sudah tersingkir ke Liga Perdana, ‘nafsu’ skuad kendalian Ismail Zakaria untuk mencari kemenangan sulung tetap membara apabila menguasai hampir keseluruhan permainan.

Kubu ATM mula diuji seawal minit kelapan menerusi rembatan padu penyerang importnya Nemanja Vidakovic dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran cantik rakan sepasukan namun penjaga gol pelawat Syed Adney Syed Hussien sudah bersiap untuk menggagalkan percubaan itu.

Giliran Mohd Nizad Ayub pula mencuba nasib, namun sepakan leretnya pada minit ke-15 serta tandukannya di minit ke-24 tetap gagal menewaskan Syed Adney di depan pintu gol ATM.

Bagaimanapun, sepakan percuma yang diambil Mohd Akmal Zahir di minit ke-43 hampir meletakkan The Giant Killers di depan tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol ATM.

Sebaik bersambung babak kedua, tuan rumah meneruskan tekanan ke arah kubu lawan dan akhirnya kesilapan pertahanan kanan ATM K Reuben yang menjatuhkan Nemanja dalam kotak penalti membawa keuntungan besar buat Sime Darby yang di hadiahkan sepakan penalti pada minit ke-65.

Nemanja yang mengambil sepakan itu mudah melaksanakan tugasannya buat meletakkan tuan rumah mendahului pelawat 1-0 dengan keputusan itu kekal hingga tamat aksi penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:05 AM