Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Biarpun menewaskan DRB Hicom 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya, malam kelmarin, misi Pulau Pinang untuk melangkah ke Liga Super tahun depan tampak semakin sukar.

Ini berikutan, ketika saingan liga berbaki satu lagi perlawanan, Pulau Pinang kini menduduki tangga ketiga selepas dipintas semula T-Team dan walaupun masing-masing mengumpul 42 mata, skuad The Titans memiliki kelebihan jaringan besar selepas membelasah SPA Putrajaya 7-0, malam kelmarin manakala pendahulu, Kedah kekal menerajui dengan kelebihan tiga mata.

Pada perlawanan penentuan esok, Pulau Pinang akan bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang UiTM FC manakala T-Team menentang Kuantan FA dan sekiranya kedua-dua pasukan itu menang, perbezaan jaringan akan menjadi penentuan.

Bagaimanapun, jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F Tiago mahu pemain skuad Harimau Kumbang meneruskan perjuangan dan memburu kemenangan dengan jaringan besar.

Bagi Jacksen sendiri, beliau gembira dengan kemenangan tipis ke atas DRB Hicom itu yang juga keempat berturut-turut.

“Walaupun memiliki mata sama dengan T-Team dan mereka ada kelebihan, kami akan terus berjuang dan memastikan kemenangan perlawanan terakhir liga dengan UiTM Jumaat ini.

“Apa yang penting, kami menang dulu dan selepas itu kita lihat apa yang berlaku,” katanya.

Pulau Pinang akan menempah tiket ke Liga Super musim depan jika menang dan T-Team pula seri atau kecundang kepada Kuantan FA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:21 AM