X
PERSEMBAHAN sebuah negara yang menyertai SIFF 2015.
PERSEMBAHAN sebuah negara yang menyertai SIFF 2015.
PERARAKAN peserta yang mengambil bahagian di SIFF 2015.
PERARAKAN peserta yang mengambil bahagian di SIFF 2015.
JUHAR (tengah) menyerahkan Anugerah Perdana kepada wakil Russia (kiri) yang memenangi Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa.
JUHAR (tengah) menyerahkan Anugerah Perdana kepada wakil Russia (kiri) yang memenangi Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Persembahan tarian kebudayaan dipersembahkan lebih 300 peserta dari 17 negara sempena Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa (SIFF) Sabah 2015 ke-10 di Sabah, baru-baru ini amat mengujakan.

Festival anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) itu berlangsung enam hari bertempat di Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang selain turut diwarnai beberapa aktiviti lain.

Antara program utama sempena SIFF 2015 ialah KK City Folklore Parade; 6th Folk Art Exhibition; Sabah Traditional Food and Handicraft Exhibition; Pertandingan Fotografi; Local Folk Dance Competition @ Tugu Budaya kali ketujuh dan International Folk Dance Competition.

Kemuncak festival yang mempamerkan tarian kebudayaan bertemakan Perkahwinan Rakyat itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

SIFF adalah satu acara yang bertaraf antarabangsa bagi mempromosikan pelancongan berasaskan kebudayaan (cultural tourism) yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melalui LKS.

Festival yang dianjurkan sejak 2001 itu bertujuan mempromosi dan memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik dengan kekayaan budaya serta kesenian pelbagai etnik.

Selain persembahan tarian, majlis pertukaran baju etnik dari negara yang menyertai turut diperoleh hasil pertukaran di antara 17 negara yang mengambil bahagian dalam SIFF 2015.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penganjuran SIFF tahun ini mempunyai sedikit kelainan apabila LKS melancarkan koleksi baju etnik tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, sebagai tuan rumah, Sabah khususnya Malaysia menghadiahkan baju suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) Penampang kepada negara yang menyertai.

“Koleksi baju etnik terbabit dijangka diletakkan dalam sebuah galeri atau muzium mini yang dikawal selia LKS.

“Adalah menjadi harapan saya melalui pertukaran baju etnik ini menjadi salah satu usaha untuk mempromosi pelancongan Sabah di negara luar,”katanya.

Katanya, SIFF juga dapat menerapkan perpaduan dan keamanan dalam kalangan peserta dan menggalak pelancongan budaya unik.

Terdahulu, objektif penganjuran SIFF 2015 bagi mempromosi persefahaman dan keamanan melalui budaya selain mempromosikan persaudaraan melalui budaya.

Antara negara yang menyertai ialah Slovakia, Latvia, Indonesia, Filipina,Korea Selatan, Russia, Brunei Darussalam, Republik Sakha Yakutia, Russia; Kazakhstan, Taiwan, India, Kyrgyzstan, Turki, Mexico, Bangladesh, China dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:47 AM