JUDUL asal mengalami transformasi berbeza sepanjang keluarannya.
JUDUL asal mengalami transformasi berbeza sepanjang keluarannya.

Ibarat ‘lari’ daripada platform sebenar, HAZRIL MD NOR membuat analisis mengenai gaya permainan Resident Evil yang sentiasa berubah sejak awal pembentukannya.

Jauh ketinggalan keluaran Resident Evil (RE) pertama jika hendak dibandingkan dengan judul terbaru, RE 6. Banyak perubahan yang dilihat ketara dan jujur penulis katakan, ia lebih terarah pada konsep baru. Sudah tenggelam sepenuhnya genre ‘survival horror’ yang mempopularkan francais ini di serata dunia suatu ketika dulu.

Penulis masih ingat kenangan ketika bermain RE di komputer apabila pada ketika itu grafiknya begitu klasik.

Begitupun, RE bukanlah bersandarkan pada grafik semata-mata kerana pada era 1990-an itu apa yang penting ialah gaya permainan yang ditawarkan. Hakikatnya, francais ini berjaya membentuk identiti sendiri di mana genre terkenal hingga sekarang iaitu ‘survival horror’ mula diperkenalkan.

Bayangkan saja sudut kameranya sentiasa berubah-ubah ditambah dengan atmosfera menakutkan dan sumber peluru terhad dalam menjadikan RE sebagai permainan video paling menarik pada ketika itu. Ia penuh dengan kejutan dan saspens yang tidak didapati dalam keluaran permainan video lain. Entiti seperti mayat hidup diperkenalkan dan menjadi tarikan utama francais berkenaan.

Lebih ekstrem

Dalam keluaran ketiga, Nemesis diperkenalkan. Ia antara ketua paling disegani kerana mampu bergerak pantas dan mempunyai susuk tubuh yang besar. Ini menjadikan RE 3 unik kerana keluaran terdahulu menampilkan ketua mayat hidup yang tidak tangkas dan lemah. Nemesis juga berupaya mendalami transformasi bentuk kepada raksasa lebih ganas ketika itu.

Keluaran keempat memperkenalkan protagonis popular Leon dalam misi menyelamatkan anak Presiden Amerika, Ashley. Bagi penulis, RE 4 menampakkan peningkatan pada grafik dan ia lebih terarah pada kebijaksanaan pemain menggunakan senapang berbanding menyelesaikan teka-teki. RE 4 juga menampilkan atmosfera menakutkan dan pemain perlu berdepan dengan kumpulan mayat hidup yang ramai sekali gus menimbulkan saspens.

Inisiatif baru

Sekali lagi Capcom berjaya membuktikan suasana seram bukan saja terhad pada waktu malam tapi juga pada waktu siang. RE 5 dilihat sebagai inisiatif baru kepada peminat. Penulis paling gemarkan keluaran ini kerana ia memaparkan fungsi baru seperti permainan koperasi (co-op). Sistem itu memperlihatkan Sheva sebagai karakter bantuan yang berkaliber dan berani untuk menyaingi kehebatan Chris.

Menggunakan latar tempat di Afrika, RE 5 mempunyai plot menarik dan konsisten ditambah dengan kemunculan virus baru yang menukarkan manusia kepada Majini. Apa yang paling menarik, penulis kagum dengan pengenalan sistem bara­ngan yang menggunakan satu slot bagi setiap item. Berbanding RE 4, ia lebih rumit kerana kita perlu mengatur item mengikut saiz.

Keluaran keenam iaitu RE 6 dilihat menjadi pemangkin kepada penerbitan genre baru dalam francais Resident Evil, ‘action-shooter’. Kempennya terbahagi kepada tiga dan memaparkan protagonis popular daripada keluaran terdahulu. Bagi penulis, ia adalah satu tarikan kepada peminat baru yang ingin mencuba francais ini. Namun, realitinya RE 6 sudah pun hilang ‘auranya’ apabila meninggalkan sepenuhnya elemen seram dalam suasana permainan.

Begitupun, ia mempunyai ciri baru yang patut diketengahkan dalam keluaran sebelumnya seperti keupayaan untuk bergerak semasa menembak dan kebolehan menggunakan tablet nyawa tanpa perlu hentikan pergerakan. Lebih sensasi apabila pemain boleh melakukan beberapa teknik tendangan kepada lawan sekali gus menghapuskan istilah ‘tidak berupaya selepas kehabisan peluru’.

Walaupun tidak seram seperti dulu, penulis rasakan RE 6 mempunyai konsep rekaan raksasa yang paling kreatif pernah dilihat dalam industri permainan video. Ia bukan saja penuh dengan transformasi tapi juga memaparkan pembentukan ketua raksasa yang menakutkan dan saiz begitu besar seperti Haos.

Keseluruhannya, Resident Evil tidak lagi mengekalkan elemen ‘survival horror’ yang digilai ramai sebaliknya mencampurkan genre seram dengan aksi untuk menarik peminat baru. Bagi anak muda yang sudah lama bersama dengan francais ini, pastinya anda kecewa dengan langkah Capcom.

Bagaimanapun, diharapkan keluaran ketujuh mampu mengubah tanggapan ini dan Capcom sekali lagi mampu buktikan genre ‘survival horror’ boleh diteruskan dan dikekalkan legasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 1:43 PM