Rakaman video kubah Masjid Nabawi dibuka selepas solat Subuh, pagi tadi waktu tempatan. Video Noor Azam Abd Aziz

Madinah: Jemaah haji Malaysia perlu menggunakan kesempatan program ziarah Masjid Nabawi untuk mengenang dan menginsafi diri terhadap perjuangan serta penderitaan generasi terdahulu dalam menyebarkan Islam.

Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Ustaz Ramli Ibrahim berkata, program ziarah yang disusun Tabung Haji (TH) itu turut membantu jemaah haji mengetahui sejarah Masjid Nabawi.

Menurutnya, masjid berkenaan satu daripada tiga masjid digalakkan oleh Rasulullah SAW untuk diziarahi.

Katanya, tuntutan ziarah itu sebenarnya tidaklah terikat dengan tempoh atau masa tertentu dan tidak pula terikat dengan solat atau ibadat yang banyak atau sedikit.

"Tuntutan ziarah ini sebenarnya sudah terlaksana dengan bersolat Tahiyyatul Masjid dua rakaat, memberi salam kepada Rasulullah SAW dan kedua-dua sahabatnya, kemudian berdoa untuk kebaikan diri kita dan kaum Muslimin keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa adab dan larangan yang harus diikuti jemaah ketika menziarahi makam Rasulullah, antaranya sentiasa berselawat dan tidak meninggikan suara.

Menurutnya, jemaah haji diharamkan meminta sesuatu hajat, permintaan untuk melepaskan diri daripada bala atau penyakit daripada roh orang yang sudah mati.

"Jangan menyentuh atau mengucup mana-mana dinding makam atau masjid di mana-mana saja.

"Jangan melemparkan sesuatu ke dalam makam seperti yang dilakukan sesetengah pelawat kerana perbuatan ini adalah bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh sahabat Nabi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 4:59 PM