Mumbai: Seekor burung kakak tua ditahan polis selepas seorang nenek mengadu haiwan itu sering mencarut kepadanya.

Janabai Sakharkar, 85, berkata, burung kakak tua itu dibela anak tirinya, Suresh dan sering mencarut setiap kali dia berjalan di depan rumah lelaki itu.

Janabai dan Suresh dilaporkan sering berbalah kerana berebut harta peninggalan suaminya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Jurucakap polis berkata, mereka menahan burung kakak tua itu selepas Janabai membuat aduan dia tertekan dengan kata-kata kesat yang dikeluarkan haiwan berkenaan.

Polis percaya haiwan itu hanya mengeluarkan kata-kata kesat selepas sering mendengar Janabai dan Suresh bertengkar.

“Mungkin burung ini meniru suara selepas mendengar kata-kata kesat yang dikeluarkan ketika mereka bergaduh.

“Lebih menarik lagi, burung itu hanya mengeluarkan kata-kata kesat apabila terlihat Janabai.

“Walaupun tidak dikenakan sebarang dakwaan, tetapi burung ini kami tahan dan dihantar ke Jabatan Haiwan untuk pemulihan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 7:46 AM