LAGU ciptaan Faizal Tahir nyanyian Hafiz sempena ulang tahun ke-20 pembabitan dalam industri.
Oleh Nor Akmar Samudin

April lalu, genap 20 tahun pembabitan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dalam lapangan seni suara tanah air, malah sepanjang tempoh itu, setiap kejayaan yang dikecapi menjadi inspirasi kepada peminat dan membanggakan negara.

Siti bintang legenda yang meraih pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara. Boleh dikatakan penyanyi tersohor ini sudah memiliki segala-galanya. Lalu apa lagi wajar diberikan kepadanya sempena meraikan dua dekad kerjaya seninya itu?

Hasil perbincangan Pengurus Kandungan Era FM, Nazri Noran dan Pengurus Kandungan Raku (Radio Astro), Rithan mereka bersetuju menghadiahkan Siti sebuah lagu ciptaan Faizal Tahir dan dinyanyikan Hafiz Suip berjudul Inspirasi.

Nazri berkata, itulah hadiah terbaik yang dipersembahkan kepada Siti.

“Kami mendapatkan beberapa lagu daripada komposer dan Faizal bersungguh-sungguh mahu membuatnya. Kami beri peluang kepada Faizal dan berjaya menyiap­kan lagu serta lirik dalam tempoh beberapa jam saja. Lagu ini turut menampilkan suara Faizal,” katanya.

Siti diundang ke udara dalam segmen Johari Pagi Era menerusi slot Super Johara Show pada pagi ini. Di samping Johan, Haniff dan Ray, penyanyi berusia 36 tahun itu berpeluang merasai pengalaman menjadi penyampai radio dan membaca berita.

Jelas Nazri sepanjang empat jam, Era FM memutarkan himpunan lagu Siti daripada album pertama hingga terkini.

“Sebanyak 40 lagu Siti dimainkan di Era FM sejak saluran radio ini ditubuhkan pada 1998 dan lagu Aku Cinta Padamu mendapat permintaan paling tinggi. Sempena ulang tahun ke-20 Datuk Siti dalam industri, kami mahu berkongsi detik indah itu dengan pendengar Era FM.

“Datuk Siti banyak merakamkan lagu runut bunyi drama dan filem. Tiba masanya kami buatkan lagu ‘tribute’ untuknya pula.

“Ketika Datuk Siti berada di konti dia turut dihubu­ngi penggiat seni, rakan dan suaminya, Datuk K (Datuk Khalid Mohd Jiwa) untuk berkongsi detik indah bersamanya. Kebetulan pasangan romantik ini akan menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan esok (hari ini),” katanya yang memaklumkan lagu Inspirasi diperdengarkan buat pertama kali di Era FM hari ini.

Siti bermula dari bawah

Menyelami perasan Siti mengenai lagu ‘tribute’ itu, dia tidak sangka dan terharu apabila menerima penghargaan setinggi itu daripada Era FM serta Raku.

“Saya datang ke konti Era FM tanpa mengetahui rancangan sebenar mereka. Saya diberi penerangan akan ke udara selama empat jam bersama Johan, Haniff dan Ray serta melakukannya secara spontan. Saya juga diminta membaca berita dan menyampaikan maklumat trafik ibu kota.

“Kemudian saya diberikan surat luahan rasa peminat yang apabila saya baca seperti sebuah puisi. Lalu saya minta Johan bacakan dan mereka terus perdengarkan lagu Inspirasi.

“Saya suka lagu ini dan berasa sangat terharu. Mendengar melodi dan liriknya, saya teringin me­nyanyikan lagu ini, tetapi tak boleh kerana ia dibuat khusus untuk saya. Macam tak kena pula kalau saya nyanyi,” katanya berseloroh.

Mengimbas pembabitan awalnya dalam bidang seni suara, jelas Siti dia tidak berpelajaran tinggi dan berharap segala kepayahannya mendaki kejayaan boleh menjadi contoh terbaik buat orang ramai.

“Saya berasal dari kampung, pernah menjual kuih dan pergi ke tempat pertandingan nyanyian dengan menaiki bas. Daripada dulu sampai sekarang keluarga sumber kekuatan saya.

“Selagi kita berusaha, ada bakat dan bersungguh pasti akan berjaya. Setiap manusia dikurniakan kelebihan tersendiri, jadi jangan dipersiakan.

“Cita-cita asal saya mahu jadi pegawai polis. Saya mahu ikut jejak arwah ayah, tetapi selepas dua tahun jadi penyanyi, saya rasa tak boleh buat kerja lain selain menyanyi.

“Saya buat dengan bersungguh-sungguh dan inilah hasilnya,” katanya.

Melanjutkan bicara, dia gembira apabila ada pelajar menjadikan lagu dendangannya teman ketika belajar dan kebanyakan mereka sudah berjaya dalam hidup serta kerjaya.

“Saya mahu jadi inspirasi peminat. Masyarakat lihat saya berjaya dan sudah ada segala-galanya, tetapi hakikatnya masih ada lagi yang belum saya capai. Saya mahu teroka muzik berbeza.

“Sebab itu saya terima tawaran komposer terkenal India, A R Rahman menyanyikan lagunya, Nenjae Ezhu. Lagu ini menjadi pembuka tirai Internatioanal Superstar 2015 yang berlangsung di PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) baru-baru ini.

“Menerusi kerjasama itu, saya dapat peminat baru. Pengalaman menyanyikan lagu Tamil satu pengalaman yang sangat menarik. Sebelum ini saya pernah menyampaikan lagu Hindustan dan Mandarin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 12:50 PM