Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kelantan akan berusaha memburu gol awal ketika bertemu Sarawak dalam saingan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini walaupun peluang untuk memperbaiki kedudukan takhta liga kelihatan semakin tipis.

Pertemuan dengan skuad Bujang Senang di laman sendiri itu mesti dimanfaatkan sepenuhnya pemain Kelantan bagi mengelak dari diaibkan pelawat.

Walaupun Sarawak berada di belakang Kelantan, pasukan itu pasti bangkit serta menjadi ‘pengacau’ kepada skuad kendalian Zahasmi Ismail sekalipun peluang menyaingi Polis Diraja Malaysia (PDRM) agak tipis.

Gesaan itu dibuat Zahasmi yang mahu anak buahnya bangkit membenam Sarawak selepas mereka dikalahkan Selangor 3-0, Rabu lalu, sekali gus menyaksikan hasrat pasukan Pantai Timur itu untuk memburu tiga mata hilang begitu saja.

Zahasmi berkata, walaupun sukar untuk melonjakkan diri, mereka masih berpeluang memintas PDRM jika skuad The Cops itu tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Namun, katanya, soal (kedudukan) liga itu kini perkara nombor dua kerana apa yang penting, pasukannya bersemangat memburu tiga mata demi maruah.

“Sarawak bukan calang-calang pasukan kerana pasukan Ngap Sayot kendalian Fuad Grbesic itu mampu mengalahkan Kelantan jika pemain berbahaya mereka berjaya menembusi benteng pertahanan kita.

“Kita mahu menutup tirai Liga Super musim ini dengan bermaruah walaupun gagal berada dalam lima kelompok terbaik namun, sebaik episod perlawanan Piala Malaysia bermula bulan depan, kita akan berusaha bangkit selaku pencabar utama pasukan gergasi lain,” katanya.

Kelantan melalui musim sukar secara keseluruhan apabila mencatat hanya tujuh kemenangan selepas 25 perlawanan, namun berjaya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Musim ini juga menyaksikan Kelantan berdepan pelbagai episod duka termasuk bertukar jurulatih sebanyak dua kali iaitu George Boateng dan Mohd Azraai Khor Abdullah sebelum Zahasmi dilantik sebagai pemangku menggalas tanggungjawab berat itu.

Zahasmi berkata, semua pemain termasuk empat yang digantung perlawanan ekoran kad kuning, Austin Amutu, Gilmar Da Santos Filho, Nor Hafiz Zamani Misbah dan Noor Hazrul Mustapha kini boleh bermain dalam pertemuan itu.

Katanya, cuma kedudukan Amiridzwan Taj Tajuddin dalam kesebelasan utama pemain agak samar berikutan bekas pemain ATM itu masih cedera.

“Sedikit lega apabila semua pemain boleh beraksi dalam pertemuan dengan Sarawak selepas ramai daripada mereka tidak dapat bermain ketika bertemu Selangor.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:09 AM