AFP

West Bromwich, England: Selepas mengharungi minggu yang cukup mencabar, kunjungan ke West Bromwich Albion hari ini adalah perlawanan yang cuba dielakkan Jose Mourinho ketika Chelsea berdepan prestasi agak goyah.

Kebiasaannya dua kelab ini akan berada pada kedudukan berbeza dalam kempen Liga Perdana Inggeris namun Albion sudah membuktikan mereka mempunyai kekuatan ke atas Chelsea dalam pertembungan di Hawthorns beberapa tahun kebelakangan ini.

Skuad Blues gagal meraih sebarang mata dalam tiga daripada empat kunjungan terakhir yang mana keputusan terbaik mereka hanya mengutip satu mata.

Sebaliknya Mei lalu, West Brom berjaya mengejutkan pasukan juara itu dengan kemenangan selesa 3-0.

Ia bukan gelanggang yang sesuai untuk pasukan yang memulakan musim dengan hambar hingga menyaksikan mereka hanya meraih satu mata dan berdepan pelbagai masalah selepas dua perlawanan awal.

Kekalahan 0-3 di tangan Manchester City Ahad lalu menyebabkan tumpuan lebih terarah kepada Mourinho dan pemainnya berikutan keputusan pengurus itu menukar kapten John Terry pada babak pertama mencetuskan rasa tidak puas hati segelintir pihak kerana kegagalan kelab itu menguatkan pasukan musim ini.

Sejak itu Pedro Rodriguez dibawa masuk dari Barcelona dan Baba Rahman, pemain pertahanan kiri berusia 21 tahun juga tiba dari Augsburg.

Kemungkinan akan ada lagi pemain baru dibeli sebelum tempoh perpindahan pemain berakhir dengan pemain pertahanan tengah Everton, John Stones masih dalam radar Chelsea.

Anak buah Mourinho perlu segera mendapat motivasi dan pengurus Blues itu percaya kemenangan minggu ini akan segera meletakkan mereka dalam landasan sebenar.

“Kami biasanya berlatih dengan baik namun minggu ini kami berlatih lebih gigih berbanding sebelum ini. Kenapa? Kerana kami tidak gembira,” kata Mourinho. “Saya tidak gembira dengan keputusan begitu juga dengan pemain.

“Kami mahu melakukan yang lebih baik dan salah satu caranya adalah untuk berlatih lebih gigih seperti yang kami lakukan minggu ini.

“Adakah kami perlu meningkat? Sudah tentu tapi kami tetap tenang. Tidak gembira tapi tenang. Kami perlu berasa tidak gembira kerana perasaan itu akan membuatkan anda terus berusaha tapi ketenangan juga penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:06 AM