Oleh Norul Awatif Romli


Alor Setar: Polis Kedah memburu sekumpulan lebih 15 lelaki bermotosikal dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh hingga mengakibatkan kerosakan rumah di Kampung Telok Gelam, Jitra, dekat sini, malam Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, kejadian kira-kira 10.30 malam itu berpunca daripada kejadian kemalangan antara kereta dengan motosikal membabitkan seorang lelaki dan seorang penunggang motosikal di Jalan Telok Malek, Jitra.

Katanya, berikutan itu, mangsa, jurukimpal, 40, bertindak melarikan diri untuk pulang ke rumahnya selepas dipercayai diugut sekumpulan lelaki bermotosikal di lokasi kejadian dipercayai rakan-rakan kepada penunggang motosikal terbabit.

"Dalam keadaan tergesa-gesa melarikan diri, mangsa (pemandu kereta) sekali lagi terbabit dalam kemalangan jalan raya di mana mangsa melanggar sebuah lagi motosikal di Taman Kelisa, Jitra.

"Bagaimanapun, 30 minit kemudian kumpulan lelaki bermotosikal terbabit dikatakan merusuh di depan rumah mangsa menyebabkan cermin rumah pecah selain tiga kereta turut dirosakkan," katanya.

Katanya, siasatan awal polis percaya kejadian itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana mangsa tidak berhenti di kedua-dua lokasi kemalangan berlaku.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh dengan bersenjata dan Seksyen 427 KK kerana mendatangkan bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 12:26 PM