PENDATANG dari Asia Barat menanti untuk menaiki kereta api di bandar Gevgelija, Macedonia untuk ke sempadan Serbia sebelum meneruskan perjalanan ke Hungary.
PENDATANG dari Asia Barat menanti untuk menaiki kereta api di bandar Gevgelija, Macedonia untuk ke sempadan Serbia sebelum meneruskan perjalanan ke Hungary.

Gevgelija: Ribuan pendatang, kebanyakannya pelarian dari Syria, menaiki kereta api dan bas di bandar ini yang akan membawa mereka lebih dekat lagi dengan Kesatuan Eropah, sehari selepas mereka menyerbu memasuki sempadan Macedonia dari Greece.

Puluhan pendatang cedera dalam kejadian kelmarin ketika mereka melompat kawat berduri untuk mengelak polis Macedonia yang mengawal sempadan itu sejak tiga hari lalu.

Selepas kejadian berkenaan, pihak berkuasa Macedonia membenarkan pendatang itu menyeberang sempadan tanpa halangan.

Semalam, mereka menaiki bas dan kereta api yang akan membawa mereka ke sempadan dengan Serbia sebelum menuju lebih jauh ke utara, ke arah negara anggota EU, Hungary.

Polis di Gevgelija, bandar sempadan Macedonia dengan Greece berkata, mereka mengeluarkan dokumen transit untuk lebih 4,000 pendatang sejak 24 jam lalu.

Kira-kira 1,000 lagi masih menanti dokumen itu yang akan membenarkan mereka melintasi negara berkenaan.

Macedonia sebelum ini berkata, ia akan mengehadkan kemasukan pendatang tetapi semalam, polis negara itu langsung tidak berusaha menghalang mereka yang menyeberang sempadan itu dari Greece.

Sehingga semalam, lebih 42,000 orang, termasuk lebih 7,000 kanak-kanak memasuki Macedonia dari Greece sejak pertengahan Jun, kata kerajaan.

Sebaik tiba di Serbia, ramai pendatang dan pelarian itu akan cuba meneruskan perjalanan ke Hungary, pintu masuk utama ke EU, walaupun negara itu sudah membina pagar kawat setinggi empat meter di sepanjang sempadannya sejauh 175 kilometer bagi menghalang kemasukan pendatang berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:19 AM