BOLT (kanan) atasi bintang AS pada 30 meter terakhir.
Reuters

Beijing: Usain Bolt sekali lagi menghasilkan persembahan terbaik apabila dia mengekalkan kejuaraan dunia 100 meter semalam, sekali gus memastikan statusnya sebagai pelari terpantas di planet ini.

Pelari Jamaica berusia 29 tahun itu mengatasi bintang Amerika Syarikat, Justin Gatlin pada 30 meter terakhir perlumbaan final 100m Kejohanan Olahraga Dunia di Stadium Nasional dan melepasi garisan penamat dengan mata 9.79 saat, catatan terbaiknya tahun ini.

Gatlin berakhir di tangga kedua dengan masa 9.80s untuk meraih perak manakala Andre de Grasse dari Canada dan pelari AS, Trayvon Bromell kedua-duanya berakhir di tangga ketiga dengan masa 9.92s.

Kedua-duanya akan diberikan pingat gangsa kerana penganjur gagal memisahkan catatan mereka.

Bolt, penyandang juara Olimpik dan pemegang rekod dunia, kini tidak tumpas dalam 100m atau 200m bagi enam kejohanan utama dunia sejak 2007.

“Ini pastinya amat bermakna kerana saya agak bergelut sepanjang musim,” kata Bolt, yang berusaha mencari rentak selepas musim yang dibelenggu kecederaan.

“Saya mengambil masa sedikit untuk mengatasi beberapa masalah. Jadi, saya amat gembira.”

Dia dibatalkan daripada perlumbaan 100m pada Kejohanan Dunia Daegu 2011, namun hampir mengalami nasib sama apabila dia keluar dari blok pada separuh akhir semalam.

Namun, tiada kesilapan pada perlumbaan final dan kembali ke stadium yang mana dia mula mencipta nama pada Sukan Olimpik Beijing 2008, dia bingkas bangkit daripada permulaan lembap sebelum mengatasi Gatlin.

“Saya faham kenapa (ramai berasakan penting buatnya menang),” jelas Bolt. Tapi, seperti saya katakan, saya mahu melakukannya buat diri sendiri. Ia memang terlalu bermakna.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:37 AM