VOLLAND (kiri) diasak Xabi Alonso.
VOLLAND (kiri) diasak Xabi Alonso.
AFP

Berlin: Jaringan Robert Lewandowski pada minit ke-90 menyaksikan pendahulu liga Bayern Munich yang beraksi dengan 10 pemain meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Hoffenheim kelmarin sekalipun melepaskan antara gol terpantas dalam sejarah Bundesliga.

Penyerang Poland itu melengkapkan kebangkitan pasukan juara itu sesudah penyerang B-21 Jerman, Kevin Volland membuka tirai jaringan hanya selepas sembilan saat, menghukum kesilapan David Alaba sebelum merembat masuk di Arena Rhein-Neckar.

Gol pantas Volland itu menyamai rekod dilakar pemain Bayer Leverkusen, Karim Bellarabi pada hari pembukaan musim lalu di Borussia Dortmund.

Anak buah Guardiola menyamakan kedudukan apabila rembatan kencang Douglas Costa ditepis penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann sebelum Thomas Mueller menampan masuk bola muntah dengan menggunakan lututnya pada minit ke-40.

Hoffenheim mensia-siakan peluang melakar kemenangan pertama ke atas Bayern dalam 15 percubaan apabila Eugen Polanski merembat liar sepakan penalti melepasi palang selepas Jerome Boateng memegang bola dengan sengaja dan pemain kebangsaan Jerman itu dibuang padang kerana kad kuning kedua pada minit ke-72.

Bayern meraih gol kemenangan dramatik apabila pemain sayap Brazil, Costa melakukan hantaran lintang menakjubkan, Mario Goetze melepaskan bola itu kepada Lewandowski yang merembat masuk.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, tapi lebih penting persembahan pasukan,” kata jurulatih Bayern, Pep Guardiola yang ternyata kelihatan lega.

“Kami sedar ia pasti sukar di sini kerana Hoffenheim sering mencetus masalah buat kami dalam beberapa tahun terakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:40 AM