Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Selepas genap seminggu, pelakon dan pengacara popular Rozita Che Wan akhirnya mendedahkan nama bayi perempuannya, hari ini.

Aaisyah Dhia Rana Muhamad Zain menjadi pilihan yang membawa maksud kejelitaan.

Rozita, 41, yang dihubungi berkata, nama Aaisyah diambil bersempena nama ibu kepada Zain sendiri manakala Dhia Rana adalah pilihannya.

"Kami baru putuskan namanya pada malam tadi. Semuanya dah selesai daftar baru saya dapat umumkan tadi," katanya secara ringkas.

Teka-teki mengenai nama bayi perempuan Rozita menjadi bualan hangat sepanjang minggu ini dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk mengetahuinya.

Malah, kelmarin aktres Kiah Pekasam itu juga sengaja memuat naik status meminta pendapat umum mengenai nama yang bersesuaian sebelum memutuskan pilihan muktamad.

Rozita selamat melahirkan bayi perempuannya secara normal pada jam 2.18 petang Sabtu lalu di KPJ Ampang Puteri dekat sini.

Bayi perempuan itu adalah anak pertama Rozita dengan Zain Saidin, 30.

Aktres itu turut memiliki dua anak lelaki Ammar Effendy, 19 dan Aniq Ezzra, 17, hasil perkahwinan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 10:07 PM