Bersaiz kecil namun mempunyai khasiat yang sangat besar khususnya pada kesihatan menjadikan buah beri antara buah-buahan yang boleh diamalkan pengambilannya terutama untuk memberikan tenaga serta mencegah kanser.

Beri mengandungi antosanin dan paras antioksidan yang tinggi selain kaya dengan sumber serat yang dapat membantu sistem penghadaman yang sihat serta vitamin C yang membantu meningkatkan sistem imunisasi dan membuatkan kulit sentiasa sihat berseri.

Dengan rasanya yang manis dan sedap, ia antara buah-buahan kegemaran ramai khususnya atas faktor khasiatnya.

Acai beri

Buah unik dari hutan hujan Amazon ini dipercayai satu daripada makanan paling berkhasiat di dunia. Kaya dengan antosanin, acai beri dianggap sebagai wira dalam kalangan buah beri kerana ia mampu meningkatkan tahap tenaga, kesihatan mental dan sistem imunisasi.

Beri biru

Pigmen di dalam buah ini kaya dengan khasiat antioksida serta vitamin C dan E. Buah ini juga mengandungi kepekatan pati antosanin yang tinggi iaitu sejenis sebatian yang membantu melindungi daripada sakit jantung, kanser dan gejala penyakit berkaitan usia seperti kabur penglihatan dan hilang daya ingatan jangka pendek.

Mulberi

Mulberi ialah sumber resveratrol yang baik iaitu sejenis bahan yang dipercayai dapat membantu mencegah kanser dan memanjangkan usia. Kaya dengan vitamin C, buah ini biasanya digunakan untuk mengubati demam dan selesema.

Ia juga digunakan sebagai ramuan dalam ubatan Cina untuk membersihkan darah dan hati, menguatkan buah pinggang serta pendengaran, juga penglihatan. Memandangkan mulberi mempunyai kandungan zat besi yang tingĀ­gi, ia juga digunakan untuk merawat gejala penyakit anemia.

Raspberi

Manis, wangi dan kaya dengan vitamin dan serat, raspberi membantu memperlahankan proses penghadaman dan mengekalkan kadar metabolisme yang tinggi dan seterusnya membantu tubuh membakar lemak. Raspberi juga terkenal dengan khasiat antikanser.

Kranberi

Kaya dengan vitamin C, kranberi digunakan untuk merawat jangkitan terutama jangkitan pada saluran kencing. Selain kaya dengan antioksida yang mampu mencegah penyakit jantung, ulser dan kanser dengan berkesan, buah ini juga mampu merawat serangan asma, mengurangkan kolestrol dan melindungi otak daripada kerosakan saraf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:59 AM