Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Bekalan air berjadual bagi pengguna yang bergantung kepada bekalan dari empangan Sungai Layang Masai dan empangan Sungai Lebam di Kota Tinggi akan terus dilaksanakan demi kepentingan jangka panjang pengguna terbabit.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara berkenaan akan dikuatkuasakan sehingga paras air mencapai tahap normal di empangan terbabit.

"Kita minta orang ramai faham dan bersabar selain kerajaan sedang mengkaji pelbagai pilihan termasuk pembenihan awan untuk dilaksanakan," katanya ketika ditemui dalam lawatan ke empangan Sungai Layang di sini, hari ini.

Sementara itu, memetik kenyataan daripada laman web saj.com.my, paras air di empangan Sungai Layang merosot ke 19.10 meter pada hari ini iaitu telah melepasi paras kritikal 23.50 meter manakala empangan Sungai Lebam pula turut mengalami kemerosotan pada paras air mentah secara berterusan dengan paras terkini 9.63 meter berbanding paras normal 14.00 meter.

Empangan Sungai Layang adalah sumber air untuk dirawat di Loji Air Sultan Iskandar sebelum diagih kepada kira-kira 115,000 akaun bekalan air di sebahagian Johor Bahru, Masai dan Pasir Gudang.

Manakala empangan Sungai Lebam adalah sumber air mentah utama bagi loji rawatan air Sungai Lebam khusus untuk 13,299 pemegang akaun di Mukim Tanjung Surat, Mukim Pantai Timur dan Mukim Pengerang di sebahagian kawasan Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:30 PM