PELANCARAN ubat baru khusus bagi membantu pesakit mati pucuk dan BPH.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Rasa malu, rendah diri dan kurang keyakinan sering membe­lenggu penghidap penyakit mati pucuk atau disfungsi ereksi (ED) dan pembesaran kelenjar prostat (BPH).

Masalah kian rumit buat lelaki yang sudah berkahwin kerana ia banyak mempengaruhi hubungan suami isteri.

Apapun, wanita antara individu paling penting yang dapat membantu lelaki khususnya suami penghidap penyakit terbabit untuk mendapatkan rawatan.

Kajian menunjukkan dua penyakit ini menyerang hampir 22.2 peratus lelaki Malaysia yang berusia 50 tahun dan ke atas manakala risiko ini berganda bagi lelaki dalam lingkungan umur 60 hingga 69 tahun.

Angka itu dijangka terus meningkat kepada 79.5 peratus bagi lelaki berusia 70 tahun ke atas manakala 50 peratus lelaki Malaysia berusia melebihi 60 tahun dijangka akan menghidap penyakit itu.

Peratusan itu dijangka terus meningkat seiring usia pesakit itu dan kedua-dua penyakit ini mempengaruhi semua lelaki tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, Lilly Malaysia (Eli Lilly (Malaysia) Sdn Bhd) melancarkan tablet CIALISÆ (tadalafil) 5mg selepas mendapat kebenaran pemasaran daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementeran Kesihatan Malaysia, baru-baru ini.

Tablet berkenaan diambil sekali dalam sehari yang diluluskan di Malaysia bagi rawatan penyakit mati pucuk serta tanda dan penyakit BPH.

Sejak belakangan ini, mati pucuk dan pembesaran kelenjar prostat sering menjadi topik utama penyelidikan kesihatan sakit tuan.

Hasil penyelidikan dan kajian itu membuktikan hubung kait rapat antara kedua-dua penyakit ini yang mana mati pucuk sering muncul bersama penyakit pembesaran kelenjar prostat.

Gabungan fenomena ini dengan faktor warga Malaysia yang kian meningkat usia menimbulkan keperluan untuk mendapat rawatan lebih berkesan bagi meningkatkan taraf kualiti hidup lelaki berusia yang mengalami penyakit ini.

CIALISÆ (tadalafil) 5mg berfungsi sebagai perencat enzim phosphodiesterase jenis-5 (PDE-5) yang bertindak untuk mengembalikan daya tenang vaskular serta melancarkan peredaran darah di sekitar organ dan otot berkaitan.

Selain itu, ia juga membawa kepada perubahan ketara dalam perbaikan markah kedua-dua Indeks Antarabangsa bagi Fungsi-Ereksi-Fungsi-Utama (IIEF-EF) serta Markah Simptom Prostat Antarabangsa (IPSS) yang masing-masing menilai fungsi seksual dan simptom bagi BPH.

Menurut Presiden Persatuan Urologi Malaysia Dr Teh Guan Chou, menerusi pengamatan daripada hasil kajian dalam bidang sakit tuan dan ketidakupayaan seksual, pihaknya lebih memahami kesinambungan yang timbul antara penyakit mati pucuk denga BPH.

“Apabila usia lelaki semakin meningkat, mereka akan lebih cenderung untuk mengalami Simptom Saluran Kencing Bawah (LUTS).

“Dalam sesetengah pesakit, simptom LUTS ini disebabkan penyakit BPH. Oleh itu, amat penting untuk kita menitikberatkan simptom LUTS,” katanya.

Menurutnya, dengan hadirnya ubat baru ini di pasaran Malaysia, rawatan pe­nyakit mati pucuk serta BPH menjadi lebih mudah dan ia sesuai diguna sebagai rawatan peringkat awal.

Menurut Perunding Urologi di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur Dr George Lee Eng Geap, lelaki kebiasaannya ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengaruh budaya dan tanggapan umum terhadap penyakit ini.

“Selain itu, ada juga lelaki berpendapat mati pucuk dan BPH bukan suatu penyakit. Justeru, kami sentiasa membantu pesakit untuk mengatasi masalah ini dan menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Sementara itu, Pengurut Besar Lilly Malaysia Dr Faiz Ansari berkata, kelulusan dan pelancaran ubat CIALISÆ (tadalafil) 5mg tablet bersalut filem di Malaysia menandakan kesungguhan Lilly bagi menawarkan rawatan dan penyelesaian baru bagi rawatan sakit tuan.

“Ia satu inovasi dunia rawatan sakit tuan bagi penghidap kedua-dua penyakit ini,” katanya.

Menurutnya, pesakit dinasihatkan untuk merujuk doktor bagi mendapatkan maklumat dan nasihat mengenai ubatan berkenaan serta cara penggunaannya dalam merawat dua penyakit ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:34 PM