TIDAK wujud ketidaksamarataan taraf sijil atau diploma kerana kolej vokasional menyasarkan objektif berbeza dalam bidang pengajiannya berbanding institusi lain. - Gambar hiasan
KEUPAYAAN pelajar kolej vokasional dalam bidang kemahiran tidak perlu dipertikaikan kerana mereka memperoleh banyak pendedahan sepanjang mengikuti pengajian selama empat tahun tiga bulan.
MELALUI program pemindahan teknologi dengan pelbagai pihak swasta mahupun IPT, kolej vokasional kini semakin mengorak langkah bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran selaras memenuhi Falsafah Pendidikan Negara.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Peningkatan taraf sekolah vokasional ke kolej vokasional yang dilaksanakan secara berperingkat bermula 2013 membuktikan komitmen tinggi negara untuk melahirkan tenaga berkemahiran bertauliah.

Peningkatan taraf itu juga sejajar bagi memberi peluang pelajar yang lebih berminat kepada aspek kemahiran untuk lebih fokus pada bidang berkenaan berbanding akademik sepenuhnya.

Bagaimanapun, ada pihak cuba mempertikaikannya dengan mempersoalkan sejauh mana kemampuan pelajar kolej vokasional bersaing dengan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT)?

Mereka mempersoalkan, apakah dengan sijil dan diploma daripada sekolah yang dipertingkatkan ke kolej boleh memenuhi pernintaan industri yang bersifat kompetitif atau adakah kelayakan diberikan itu setara dengan dikeluarkan IPT?

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia Zalihar Abdul Ghani, berkata pertikaian segelintir pihak membandingkan pencapaian antara kolej vokasional dengan institusi lebih tinggi sering berlaku kerana kurangnya pemahaman terhadap objektif penubuhan kolej berkenaan.

Beliau berkata, mereka beranggapan kolej vokasional adalah kesinambungan sekolah vokasional sedia ada yang masih meneruskan tahap pendidikan serupa sedangkan penarafan kolej berkenaan adalah lebih tinggi selari memenuhi Falsafah Pendidikan Negara.

“Disebabkan kurangnya maklumat atau kefahaman itu menyebabkan ada pihak memperkecilkan pelajar kolej vokasional atau cuba membanding-bandingkannya dengan keupayaan institusi lain.

“Mereka beranggapan kolej vokasional ini masih bertahap sekolah atau tempat untuk pelajar kurang cemerlang menyambung pengajian.

“Tanggapan itu perlu diubah kerana kolej vokasional hari ini bukan lagi seperti dulu kerana sudah dinaik taraf sama seperti kolej pendidikan lain dengan nilai komersial sendiri, “ katanya.

Menurutnya, menerusi anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, antara satu elemen yang akan diperkukuhkan ialah memperkasakan bidang kemahiran dan latihan.

Justeru itu, katanya, pemberian penarafan kolej kepada kolej vokasional adalah sebagai usaha bagi memenuhi aspirasi itu sekali gus memberi kelebihan terhadap sumber tenaga kerja dan negara untuk jangka panjang.

“Kewujudan kolej vokasional adalah sebagai sokongan bagi membantu negara dan sektor pendidikan mencapai sasaran itu menerusi kemahiran di peringkat sekolah lagi.

“Maksudnya pelajar kolej vokasional diberi pendedahan awal mengenai kemahiran supaya ia mantap apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

“Selepas itu mereka sudah ada kelayakan untuk menentukan perancangan masa depan masing-masing sama ada mahu bekerja atau melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya seperti di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan kolej komuniti,” katanya ketika sidang akhbar majlis penyerahan dan pelancaran mesin ‘CNC LATHE’ Universiti Malaya kepada Kolej Vokasional Sungai Buloh, Selangor di bawah program pemindahan ilmu, baru-baru ini.

Sehingga kini negara mempunyai 87 kolej vokasional termasuk di Sabah dan Sarawak dengan semuanya akan memperoleh pengiktirafan penuh sebagai kolej menjelang 2016.

Penubuhan kolej itu adalah bagi memenuhi sasaran melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran yang bersifat global.

Mengulas tanggapan segelintir pihak mengenai konflik penarafan kolej vokasional dengan institusi lain yang mungkin boleh mewujudkan isu lain seperti kesamarataan tahap diploma antara kolej vokasional dengan politeknik misalnya, beliau berkata ia tidak mungkin berlaku.

Ini kerana Diploma Vokasional Malaysia (DVM) diberikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia manakala politeknik atau institusi lebih tinggi dikawal selia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Maksudnya pelajar kolej ini menumpukan 70 peratus kepada kemahiran di sekolah dan hanya 30 peratus akademik.

“Mereka memasuki kolej vokasional selepas Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan akan mengikuti pengajian program Diploma Vokasional Malaysia selama empat tahun tiga bulan merangkumi program Pra-Diploma atau Sijil Vokasional Malaysia selama dua tahun dan program Diploma Vokasional Malaysia selama dua tahun tiga bulan.

“Manakala politeknik adalah 100 peratus akademik kerana permohonan kemasukan adalah melalui keputusan SPM. Ada perbezaan di situ”, katanya.

Beliau menyangkal dakwaan peluang pelajar kolej vokasional untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi terhad.

“Objektif kolej vokasional ialah melahirkan pekerja yang berkemahiran sejajar keperluan negara, justeru akses belajar ke peringkat tinggi juga pastinya sudah dilaksanakan secara berperingkat.

“Antaranya mewujudkan peluang melanjutkan pengajian di Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Melaka ( UTeM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Walaupun laluan mereka untuk melanjutkan pe­ngajian ke peringkat tinggi mengambil masa lama berbanding yang mempunyai SPM, mereka tetap berpeluang.

“Mereka bukan pelajar kelas kedua kerana mereka sebenarnya dilatih dengan kemahiran khusus untuk menjadi tenaga mahir dan berkepakaran dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 12:57 PM