Mohd Roy (tengah) menunjukkan parang digunakan dalam kes samun kafe siber di Jalan Genting Klang 20 Ogos lalu dan suspek utama yang dikenali sebagai Salman kini diburu (gambar kecil). FOTO Mior Azlan
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis menahan lima lelaki berusia 18 hingga 32 tahun dan sedang mengesan suspek utama dikenali sebagai Salman yang menyamun kafe siber di Jalan Genting Klang, Setapak pada 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek utama berusia 23 tahun dan alamat terakhirnya di Taman Danau Kota itu dipercayai individu yang menyerang dan menetak mangsa menggunakan sebilah parang.

"Tindakan suspek itu berjaya dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kafe siber berkenaan.

"Lima suspek berkenaan ditahan pada 22 Ogos lalu antara jam 10 malam hingga 8 pagi di beberapa lokasi di Taman Danau Kota," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mohd Roy, pada 4.50 pagi hari kejadian, suspek utama bersama rakannya cuba menyamun seorang ejen pelancongan dan mencederakan rakan mangsa yang cuba membantu.

"Mereka kemudiannya menyamun dua pelanggan di dalam kafe siber dan mencederakan seorang remaja berusia 14 tahun yang berada di luar premis berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 3:04 PM