Bagi peminat Search, pastinya tidak sabar untuk menyaksikan konsert sulung mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 4 hingga 7 Disember depan.

Bukan saja peminat setia mereka, SS juga tak sabar nak melihat aksi hebat Amy,Kid, Din, Nasir dan Yazit seperti dalam konsert mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, keadaan Yazit yang uzur akibat penyakit buah pinggang menghalang untuk dia beraksi seperti dulu. Namun, SS bangga dengan Yazit yang memiliki semangat juang tinggi apabila dia masih sanggup untuk bermain dram pada malam itu nanti.

Namun, doktor menyarankan Yazit supaya tidak terlalu agresif berikutan keadaan kesihatannya itu. SS difahamkan Yazit hanya tampil dalam segmen khas selama setengah jam di penghujung konsert berkenaan.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah siapa pemain dram yang bakal menggantikan tempat Yazit dalam konsert itu nanti?

Ia diumumkan dalam sidang media kedua Konsert Search Live In Istana Budaya 2014, Selasa ini. Turut diumumkan dalam sidang media itu ialah penampilan kumpulan pemuzik cello iaitu Paladin yang mengiringi persembahan Search.

Ada beberapa nama pemain dram yang sampai ke telinga SS yang disebut-sebut bermain untuk Search nanti. Antaranya ialah pemain dram Exists, Ujang dan pemain dram berpengalaman, Zahid Ahmad yang juga adik kepada Yazit.

Ada juga yang mengatakan Lola yang pernah menggantikan Yazit pada 2004 akan menduduki posisi dram pada malam itu.

Namun, siapa saja yang bermain dram untuk Search, SS yakin persembahan Search tetap mantap dan dinanti-nantikan.

Walaupun ada yang mendakwa nyanyian Amy tidak sehebat dulu serta gabungan pemain gitar Kid dan Din makin 'terkucil', SS yakin Search tetap mampu mengekalkan reputasi mereka sebagai band rock nombor satu negara.

SS: Lebih sukakan lagu Rozana dan Fantasia Bulan Madu berbanding Isabella.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:00 AM