GAMBAR yang tersebar di laman sosial. FOTO ihsan pembaca
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi, Stacy, 25, sudah memeluk agama Islam berikutan tersebarnya sekeping gambar menunjukkan dia memakai hijab sambil melafaz dua kalimah syahadah.

Menerusi gambar terbabit, penyanyi lagu Not For Sale itu dikatakan menggunakan nama Islam Ummu Syaikah Stacy Abdullah.

Difahamkan juga, Stacy memeluk Islam di Pejabat Agama Islam Johor Bahru pagi tadi sambil ditemani kedua ibu bapa Akim dan ibunya yang datang dari Kota Kinabalu, Sabah.

Usaha Harian Metro mendapatkan pengesahan Stacy gagal apabila dia tidak menjawab sebarang panggilan.

Wakil pengurusan Astro ketika dihubungi mengesahkan Stacy ada meminta pihak mereka mengadakan sidang media tergempar bagi menjawab persoalan itu di Pusat Penyiaran Astro, Bukit Jalil jam 2 petang esok.

"Saya tak boleh mengiyakan atau menidakkan, biarlah empunya badan menjawab sendiri perkara terbabit," katanya.

Sementara itu sumber terdekat Stacy tidak menafikan perkara itu namun enggan mengulas lanjut sehingga sesi sidang media esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 6:58 PM