NASI lemak bersama nota yang diberikan percuma kepada orang ramai.

Tujuan projek ini diadakan cukup mudah iaitu ingin menyebarkan kebaikan disamping menginspirasikan penduduk setempat bahawa kebaikan dapat dilakukan dalam pelbagai bentuk, aktiviti mahu pun keadaan. Tidak perlu menganjurkan projek besar menggunakan banyak wang sebaliknya membantu masyarakat sekeliling supaya mereka mendapat manfaat juga adalah satu kebaikan.

Atas dasar ingin berkongsi kebaikan kepada semua, Kindness Malaysia cawangan Pahang atau lebih dikenali sebagai Team Khadim Wasilah mengadakan satu projek kebaikan yang sangat mudah iaitu Suspended Meal Nasi Lemak.

Bertempat di Bandar Pekan Pahang, seawal jam 7.45 pagi sekumpulan anak muda daripada Khadim Wasilah membeli semua nasi lemak yang dijual di tepi jalan.

Nasi lemak itu kemudian diletakkan label dan orang ramai yang mengunjung gerai boleh mengambil nasi lemak itu secara percuma. Pada mulanya penduduk setempat terkejut dengan aktiviti yang diadakan. Namun selepas diterangkan mereka menyambut baik perkara itu dan sangat berterima kasih kerana kebaikan seperti ini belum pernah dilakukan seumpamanya di Pekan, Pahang.

Menurut Koordinator Projek Kindness Malaysia Cawangan Pahang, Ashira Abu Bakar, program sebegini sememangnya nampak kecil namun sangat memberikan manfaat kepada penduduk setempat.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan aktiviti kebaikan seperti ini di sekitar Pekan dan Kuantan, seterusnya di tempat lain di Pantai Timur pada masa akan datang. Semoga dengan sokongan daripada semua pihak, kami mampu menyebarkan kebaikan untuk kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Pada masa sama, Team Khadim Wasilah amat mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam berkongsi kebaikan melayari laman Facebook di Kindness #Team Khadim Wasilah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 11:58 AM