PENYOKONG bola sepak yang didenda selepas mengaku bersalah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tiga belas penyokong bola sepak termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengancam ketenteraman awam dengan niat mengganggu keamanan di tempat awam, minggu lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin di sini, 19 Ogos lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias, mengingatkan semua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 41 tahun itu untuk tidak mengulangi perbuatan sama dan menjadi penyokong bola sepak berdisiplin serta profesional.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, turut dihadapkan seorang lagi penyokong bola sepak atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis bantuan di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Bagaimanapun, tertuduh, 18, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebelum dibenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 12:58 PM