WEI Feng tidak konsisten.
 Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock bimbang prestasi anak buahnya, Chong Wei Feng yang dilihat tidak konsisten walaupun meraih pingat emas Sukan SEA 2015 Singapura Jun lalu.

Menurut Seu Bock, Wei Feng sudah berada pada satu tahap agak baik tetapi gagal konsisten dalam permainannya.

“Wei Feng perlu menolong dirinya sendiri kerana segala bantuan sudah diberikan. Saya akui dia bukan pemain bermasalah malah mempunyai sikap rajin,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

“Dia perlu belajar mengubah pemikirannya. Saya boleh beri banyak lagi latihan tapi dari segi keyakinan serta fokus, dia memang berdepan masalah.

“Pada peringkat awal, memang dia berdepan masalah dari segi fizikal apabila cepat penat tapi sejak akhir-akhir ini, dia tumpas bukan kerana kepenatan, tapi disebabkan tiada keyakinan,” kata bekas pemain negara itu.

Seu Bock berkata, jika Wei Feng tidak mampu membantunya sendiri tidak mungkin pemain itu mampu meraih emas Sukan SEA baru-baru ini dan beraksi cemerlang ketika di Piala Thomas 2014 New Delhi.

“Kalau tahap permainan tidak meningkat mana mungkin dia mampu beraksi cemerlang cuma untuk kekal konsisten menjadi sedikit kesukaran buatnya.

“Kami akan beri peluang untuk dia berjuang sehingga ke Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:36 AM