X
Agensi

Makkah: Kementerian Haji Arab Saudi semalam memberi amaran, jemaah haji warga asing berdepan dengan denda berat di samping perlu menanggung kos mengusir mereka dan diharam memasuki negara itu selama setahun jika gagal meninggalkan negara itu hari ini.

Jurucakap kementerian berkata, hukuman berat juga akan dikenakan terhadap mereka yang melindungi jemaah asing yang tidak pulang ke negara asal masing-masing setelah visa haji mereka tamat tempoh.

Dia mendakwa 40,000 jemaah haji India dan beberapa negara lain masih berada di Makkah dan Madinah sementara 1.3 juta yang datang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu baru-baru ini sudah pulang.

Katanya, ejen haji dan umrah perlu memastikan jemaah mereka meninggalkan Arab Saudi dengan penerbangan yang dijadualkan.

Jurucakap Jabatan Pasport berkata, mereka yang menetap melebihi had yang dibenarkan akan didenda sebanyak SR15,000 (RM13,377) dan membayar kos mengusir mereka selain tidak dibenarkan memohon visa umrah selama setahun.

Bagi yang melindungi pesalah itu, mereka akan didenda sebanyak SR10,000 (RM8,900) untuk setiap seorang.

Sementara itu, seorang warga Mesir, Mansour Ahmad berkata, dia bekerja sebagai tukang cuci di Jeddah secara haram sejak tiba di Arab Saudi dengan menggunakan visa haji.

Menurutnya, dia berbuat begitu kerana tidak mempunyai pekerjaan di Mesir.

Seorang warga Pakistan pula berkata, dia membayar sebanyak SR13,000 (RM11,590) untuk mendapatkan visa haji supaya boleh datang dan bekerja di Arab Saudi selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:01 AM