Kuala Lumpur: Platform media terbesar Malaysia, Media Prima Television Networks (Media Prima) meraih lebih 80 peratus penonton televisyen (TV) Melayu serta liputan meluas di pelbagai saluran.

Kempen yang dilancarkan bagi membantu jenama menguasai pasaran Melayu sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri lalu, mencapai kejayaan hasil daripada kualiti kandungan, kerjasama inovatif dan platform media yang menyeluruh termasuk media langsung, digital, media sosial, pengiklanan luar, radio dan media cetak.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar berkata, pencapaian berkenaan mengesahkan kedudukan Media Prima sebagai peneraju segmen Melayu dan keupayaan untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi.

“Keupayaan ini datangnya daripada kearifan kami terhadap demografik Melayu yang tiada bandingan dengan rangkaian media lain. Ini juga menegaskan bahawa saluran TV kami bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga memiliki pengaruh yang kuat dan mampu mencapai liputan yang berkesan di semua platform,” katanya.

Siaran TV3 dan TV9 mengekalkan reputasi masing-masing sebagai saluran TV nombor 1 dan 2 dengan jumlah yang mencecah lebih 10 juta penonton Melayu semasa musim Aidilfitri. Kedua-dua saluran mengatasi semua 18 stesen TV Melayu yang lain dan menguasai lebih 40.5 peratus penonton Ramadan atas platform percuma ke udara dan TV berbayar.

Menurutnya, siri drama kekal popular dalam kalangan penonton Melayu dengan TV3 memiliki slot drama dengan jumlah penonton tertinggi yang merangkumi Akasia (4 juta penonton), Zehra (3.1 juta penonton) dan Samarinda (3 juta penonton).

Hashtag kempen, #SyukurSelalu mencatatkan sebanyak 10 juta capaian Twitter sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Video muzik bagi lagu tema sambutan Syukur Selalu yang menampilkan Dayang Nurfaizah dan Black Hanifah pula meraih tontonan lebih setengah juta orang di saluran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 12:46 PM